AM

Kerajaan Negeri Sembilan Terus Pantau Penyakit Berkaitan Jerebu - MB

23/07/2025 05:42 PM

SEREMBAN, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi lima fasiliti sentinel kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) akan terus menjalankan pemantauan terhadap penyakit berkaitan jerebu di kawasan yang terkesan iaitu di Nilai, Seremban dan Port Dickson.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sebanyak 305 kes melibatkan penyakit berkaitan jerebu termasuk enam kes asma yang memerlukan kemasukan ke wad direkodkan oleh JKNNS setakat Isnin lepas.

"Bagaimanapun pemantauan semasa menunjukkan tiada peningkatan ketara dalam trend kes yang dilaporkan malah trend bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) menunjukkan penurunan keseluruhan sejak semalam.

"Alhamdulillah dan kita bersyukur ada hujan di Negeri Sembilan ini dapat mengurangkan jerebu, kita berharap akan hujan lagi selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata tiada keperluan setakat ini untuk melakukan pembenihan awan namun akan berbincang mengenai langkah itu sekiranya keadaan semakin teruk.

Negara ketika ini dilanda jerebu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka susulan beberapa titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar hari ini dilapor berkata sebanyak 66 daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana setakat 9 pagi tadi.

Beliau berkata dua lagi stesen mencatatkan bacaan kualiti udara pada tahap baik.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata kes denggi di negeri ini menunjukkan trend stabil iaitu dengan merekodkan 104 kes pada minggu ini berbanding 74 kes pada minggu lepas.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 25 lokaliti wabak masih aktif direkodkan termasuk empat wabak tidak terkawal dan empat lokaliti hotspot yang memerlukan pemantauan rapi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan