KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Sebagai langkah pencegahan proaktif, Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan rondaan dan pemantauan fizikal secara intensif di kawasan mudah terbakar, khususnya kawasan pertanian, tanah gambut, kawasan semak samun, kawasan ladang terbiar serta tapak pelupusan sampah yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pihaknya telah menjalankan aktiviti rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi mencegah pembakaran terbuka yang menyumbang kepada jerebu, terutamanya dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
“Bermula pada 8 Julai 2025, pewakilan kuasa kepada pelbagai agensi penguatkuasaan telah mula berkuat kuasa. Langkah ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lapangan, terutamanya dalam menangani isu pembakaran terbuka yang menyumbang kepada situasi jerebu.
“Pewakilan kuasa ini membolehkan tindakan segera, bersepadu dan lebih menyeluruh dapat dilaksanakan dengan pantas oleh agensi-agensi berkaitan. Antara agensi yang terlibat dalam pewakilan kuasa ini adalah seperti yang disenaraikan dalam Lampiran I,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat 21 Julai 2025, JAS telah melakukan 4,121 rondaan darat dan 640 rondaan dron manakala bagi tindakan penguatkuasaan pula, JAS telah mengeluarkan 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah dan mengenakan 59 kompaun terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka sepanjang 2025.
Wan Abdul Latiff berkata sebagai langkah kesiapsiagaan dan penyelarasan yang lebih komprehensif, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga telah diaktifkan sejak 26 Feb lepas bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.
“Selain itu, kerjasama rondaan dan pemantauan turut dijalankan bersama dengan agensi rakan strategik seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi penguatkuasaan lain pada peringkat negeri dan daerah,” katanya.
Wan Abdul Latiff berkata JAS juga menyeru orang ramai agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, khususnya bagi tujuan pertanian seperti pembersihan kebun, sisa pertanian atau tanah terbiar.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda hingga RM1 juta atau penjara selama tempoh hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Di samping itu, kompaun tidak melebihi 50 peratus denda maksimum boleh dikenakan atas setiap kesalahan.
“Dalam masa sama, semua pengusaha industri seperti kuari, kilang kelapa sawit, kilang premix dan lain-lain sektor industri diminta untuk memastikan sistem kawalan pencemaran udara berfungsi dengan baik. Pelepasan asap dari cerobong hendaklah sentiasa dipantau dan dikawal bagi mengelakkan pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan awam,” katanya.
Beliau berkata JAS terus komited mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan serta mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kualiti udara negara sentiasa terkawal.
“Orang awam yang melihat atau mengesyaki berlakunya pembakaran terbuka boleh menyalurkan maklumat kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel kepada aduan@doe.gov.my atau aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial