AM

Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Di Kuantan Dikawal, Pemantauan Diteruskan - Bomba

21/07/2025 10:58 PM

KUANTAN, 21 Julai (Bernama) -- Kebakaran di tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor, Mukim Sungai Karang di sini yang berlaku sejak semalam berjaya dikawal daripada merebak kira-kira pukul 5.30 petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Zahidah Ali berkata seramai 12 anggota termasuk pegawai masih ditempatkan di lokasi malam ini bagi menjalankan pemantauan berterusan.

Menurutnya ketika ini kawasan terjejas hanya dipenuhi asap dan kerja menimbus semula timbunan sampah dengan tanah sedang dijalankan.

“Langkah itu penting bagi menghalang asap tebal terus keluar dari timbunan. Kerja menimbus dijalankan oleh kontraktor hingga lewat malam, manakala bomba kekal memantau keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zahidah memaklumkan operasi pemadaman melibatkan keluasan kira-kira satu hektar (400 x 250 kaki persegi) dimulakan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.46 petang semalam, sebelum tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan kebakaran itu menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di Balok Baru, Kuantan dan Kemaman, Terengganu.

IPU yang direkodkan setakat jam 8 malam tadi ialah 151 di Balok Baru dan 150 di Kemaman.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan