AM

FesKEP@Pahang 2025 Ketengahkan Keunikan Adat Resam, Budaya Orang Asli

20/07/2025 12:46 AM

KUANTAN, 19 Julai (Bernama) -- Festival Kesenian Peribumi Malaysia (FesKEP) @ Pahang 2025 yang dianjurkan selama tiga hari bermula semalam di Dataran Temerloh menjadi platform bagi mengetengahkan keunikan adat resam, seni budaya dan warisan masyarakat Orang Asli serta peribumi Sabah dan Sarawak. 

Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dengan sokongan kerajaan negeri dan pelbagai agensi itu antara lain  mengangkat seni dan budaya masyarakat peribumi sebagai warisan bangsa yang bernilai tinggi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata FesKEP @ Pahang 2025 mencerminkan komitmen kementerian itu dalam memartabatkan budaya akar umbi yang menjadi cerminan identiti Malaysia.

Beliau berkata selain itu, festival berkenaan dilihat penting bagi memperkasakan kumpulan seni akar umbi serta memperluas apresiasi masyarakat terhadap kepelbagaian budaya asli yang membentuk identiti Malaysia.

“Melalui platform ini, MOTAC bukan sahaja mendekatkan masyarakat umum kepada warisan peribumi, malah kami komited untuk mengangkat budaya Orang Asli dan peribumi menjadi sebahagian daripada warisan kebangsaan yang kita banggakan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menerusi festival itu, pengunjung berpeluang menyelami suasana kehidupan masyarakat Orang Asli menerusi 'Mini Perkampungan Orang Asli' yang menghimpunkan pelbagai elemen budaya dan ekonomi komuniti itu selain beberapa tarikan utama antaranya jualan produk kraf tangan, hasil hutan dan tanaman tradisional.

 Lebih menarik, pengunjung dapat merasai sendiri kehidupan rimba melalui Aktiviti Ikhtiar Hidup di kawasan Survival Village yang mempamerkan demonstrasi kemahiran seperti menyalakan api secara tradisional, kaedah memburu serta pengenalan kepada jenis tumbuhan hutan yang dimanfaatkan dalam kehidupan harian masyarakat peribumi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan