AM

Tindakan Penguatkuasaan, Kepekaan Komuniti Bendung LGBT Di Kelantan - Exco

20/07/2025 04:34 PM

KOTA BHARU, 20 Julai (Bernama) -- Tindakan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa selain pegangan agama dan kepekaan komuniti setempat telah berjaya membendung penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata hasil daripada tindakan berkenaan, kawasan "panas" seperti Jalan Hamzah dan Lorong Limau Manis, di sini yang pernah menjadi sarang pelacuran, kini hanya tinggal sejarah.

"Kawasan Jalan Hamzah kini telah berubah wajah sepenuhnya, contohnya dengan pembinaan pusat beli-belah yang menggantikan tapak aktiviti lama, tindakan ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam menangani isu moral di ibu negeri," katanya.

Selain itu katanya, hubungan erat antara anggota masyarakat juga menjadi faktor penting dalam mengawal gejala itu selain sikap peka mereka terhadap sebarang tingkah laku mencurigakan.

"Di Kelantan, sekiranya ada aktiviti pelik, masyarakat akan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hilmi berkata Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB–BRI) terus menjalankan pemantauan berterusan di kawasan terbabit dan kerjasama antara MPKB-BRI dengan agensi penguat kuasa lain akan terus diperkukuh bagi memastikan bandar Kota Bharu kekal bersih daripada gejala sosial demi kesejahteraan masyarakat.

"Jika masih ada aktiviti pelacuran hari ini, ia mungkin melibatkan warga asing. Kita menyeru orang ramai supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terlihat sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan