AM

Kerjasama Strategik KKM, NGO Kesihatan Perkukuh Usaha Cegah Penyakit Berjangkit

21/07/2025 10:59 PM

KOTA BHARU, 21 Julai (Bernama) -- Kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan dilihat sebagai elemen penting dalam usaha memperkukuh pencegahan penyakit berjangkit serta melaksanakan intervensi awal khususnya dalam kalangan populasi berisiko tinggi.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata pendekatan strategik seperti aktiviti outreach yang dijalankan oleh Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (Sahabat) dengan sokongan Yayasan AIDS Malaysia menjadi contoh kerjasama berkesan antara agensi kerajaan dan NGO.

Beliau berkata kerjasama dengan NGO seperti Sahabat membolehkan KKM menyantuni golongan berisiko tinggi seperti penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan dan lelaki yang melakukan hubungan sejenis.

“Program pendidikan kesihatan dan aktiviti lapangan yang dijalankan sejak 2006 oleh Sahabat bersama KKM memberi impak positif terhadap kesedaran masyarakat berhubung jangkitan HIV, penyakit kelamin dan Hepatitis C.

"Pendidikan kesihatan yang diberikan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pencegahan dan diagnosis awal malah turut membantu melindungi kontak rapat seperti isteri dan anak-anak daripada risiko jangkitan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata KKM kekal komited terhadap pendekatan kesihatan awam yang menekankan aspek pencegahan, intervensi awal dan akses rawatan menyeluruh bagi semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata ia sejajar dengan dasar kesihatan negara yang mengambil kira nilai keagamaan serta sensitiviti budaya.

“Kerjasama strategik seumpama ini akan terus diperluas dalam usaha memperkukuh sistem sokongan komuniti bagi menangani isu kesihatan awam secara inklusif dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan