AM

Yayasan Sabah Lanjutkan Program Rebat 30 Peratus Bayaran Balik Pinjaman

30/06/2025 09:16 PM

KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) melanjutkan program Insentif  Rebat MADANI yang menawarkan rebat 30 peratus daripada baki pinjaman kepada pelajar, susulan sambutan yang sangat menggalakkan.

Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar berkata sejak program itu diperkenalkan pada 1 April lepas, sebanyak RM232,817 dalam bentuk rebat dinikmati oleh 96 peminjam yang telah melunaskan pinjaman mereka sepenuhnya sehingga 20 Jun tahun ini.

“Kumpulan Yayasan Sabah juga berjaya mengutip bayaran balik berjumlah RM651,680 daripada peminjam yang mengambil peluang tawaran rebat ini.

“Rebat ini adalah manifestasi keprihatinan Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah terhadap kumpulan sasar dalam meringankan komitmen bayaran balik pinjaman mereka, selaras dengan peranan kami dalam menyokong usaha kerajaan memajukan pembangunan pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bayaran balik itu akan menyumbang kepada kemampanan dana tajaan pendidikan KYS, terutama apabila jumlah tajaan pada masa depan dijangka meningkat dengan ketara.

“Sempena musim kemasukan ke institusi pengajian tinggi ketika ini dan selaras dengan peningkatan permintaan tajaan, penerima tajaan sebelum ini diingatkan supaya tidak mengabaikan tanggungjawab untuk melunaskan pinjaman pendidikan mereka.

“Ia bagi memberi peluang kepada pelajar baharu untuk melanjutkan pengajian mereka,” katanya.

Bagi menarik lebih ramai peminjam menyertai tawaran rebat 30 peratus melalui bayaran penuh, yayasan turut menawarkan hadiah menarik menerusi cabutan bertuah, termasuk pakej penginapan selama tiga hari dua malam di Borneo Rainforest Lodge yang terkenal di Kawasan Konservasi Lembah Danum, Lahad Datu, Sabah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan