AM

Bernama Rangkul Dua Anugerah Utama, 11 Merit Di Anugerah Kewartawan Kinabalu 2025

30/06/2025 12:07 AM

KOTA KINABALU, 29 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul dua anugerah utama dan 11 anugerah merit dalam Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2025 yang berlangsung di sini malam ini.

Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli memenangi dua anugerah utama dalam dua kategori iaitu Laporan Perniagaan dan Ekonomi (Bahasa Melayu) menerusi laporan menarik bertajuk “SESB Menerangi Impian Rakyat Sabah” serta Anugerah Kewartawanan Sukan (Bahasa Melayu) melalui laporan bertajuk “Anak Sabah Perlihat Keunikan Busana Malaysia di Olimpik Paris 2024”

Laporan beliau yang memenangi kategori Laporan Perniagaan dan Ekonomi mengisahkan peranan penting Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam merealisasikan aspirasi rakyat Sabah melalui projek bekalan elektrik dan pembangunan tenaga di negeri itu.

Sementara itu, laporan yang meraih Anugerah Kewartawan Sukan mengetengahkan busana Malaysia yang ditampilkan atlet Sabah semasa Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus menggambarkan pencapaian dalam sukan dan warisan budaya negeri itu di peringkat global.

Bagi anugerah merit, wartawan Rohana Nasrah meraih empat anugerah merit dalam kategori Hiburan, Budaya dan Kesenian (Bahasa Melayu), Laporan Perniagaan dan Ekonomi (Bahasa Melayu), Laporan Perniagaan dan Ekonomi (Penyiaran), dan Anugerah Kewartawanan Sukan (Bahasa Melayu).

Bagi kategori Laporan Perniagaan dan Ekonomi (Penyiaran), Rohana berkongsi kemenangan dengan dua rakan pasukannya, Muhammad Ramzi Kassem dan Asfarizam Abdullah.

Wartawan Arthur Edward  pula membawa pulang dua anugerah merit bagi kategori Hiburan, Budaya dan Kesenian (Bahasa Melayu) dan Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar (Bahasa Melayu). 

Fadzli turut meraih dua anugerah merit iaitu dalam kategori Berita Terbaik (Bahasa Melayu) bersama rakan pasukannya Khatijah Jistoh, dan kategori Laporan Perniagaan dan Ekonomi (Bahasa Inggeris).

Wartawan Noorazlina Jindeh juga memenangi anugerah merit bagi kategori Berita Terbaik (Bahasa Melayu).

Bagi kategori Rencana dan Rencana Berita (Bahasa Melayu), Fadzli dan Arthur menggabungkan bakat mereka untuk meraih satu lagi anugerah bagi pihak biro manakala jurugambar Arjasneh Ahmad memenangi kategori Gambar Terbaik, sekali gus melengkapkan pencapaian cemerlang Bernama.

Semua pemenang menerima sijil dan hadiah wang tunai yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai yang mewakili Ketua Menteri  Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah  (SJA) Mariah Doksil dan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan