AM

Kursus Anjuran Bernama Beri Peluang Wartawan Sambilan Teroka Teknologi AI

25/06/2025 12:48 PM

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Penyertaan wartawan sambilan dalam kursus AI-Powered Content Creation & Editorial Automation’ anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bukan sahaja memperluas akses latihan kepada lebih ramai pengamal media malah mengiktiraf peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.

Pengurus Pusat Kecemerlangan Bernama Ridzuan Mohd Ghazali berkata langkah itu turut mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam memperkasakan ekosistem literasi media secara menyeluruh.

“Wartawan sambilan turut dialu-alukan untuk menyertainya. Kita tidak hadkan penyertaan hanya kepada wartawan tetap kerana petugas sambilan juga banyak menyumbang kepada pelaporan harian,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kursus berkenaan  di sini hari ini.

Program latihan yang diadakan di sebuah hotel di sini itu menghimpunkan 30 peserta termasuk 10 pemberita sambilan daripada pelbagai agensi media di Johor antaranya Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani, Utusan Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Star Media Group.

Bernama merupakan penyelaras kursus AI di bawah peruntukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran praktikal kepada wartawan dalam menggunakan AI bagi penghasilan kandungan multimedia yang kreatif dan berkesan.

Antara modul latihan diketengahkan ialah AI Tools for Automated Transcription & Podcast Editing, Understanding Deepfakes, Misinformation and Verification Technologies, serta AI Video Editing and Integration.

Ridzuan berkata teknologi AI kini semakin penting dalam mempercepat proses kerja wartawan, selain membuka ruang kepada penghasilan kandungan lebih menarik dan interaktif.

“Teknologi AI dapat mempermudah tugasan wartawan dan pada masa sama meningkatkan kreativiti dalam laporan. Setiap kursus ada fokus - kali ini kita tumpu pada penciptaan kandungan, termasuk penghasilan gambar dan video,” katanya.

Selain kemahiran teknikal, peserta juga didedahkan dengan aspek etika dalam penggunaan AI bagi memastikan teknologi ini dimanfaatkan secara bertanggungjawab, terutamanya dalam menangani penyebaran maklumat palsu dan manipulasi visual.

Wartawan sambilan di Astro Awani, Faisyah Farain Ramli, 32, berkata penyertaannya dalam program ini membuka peluang untuk meningkatkan kemahiran supaya kekal relevan dalam era digital yang pesat berubah.

“Teknologi AI bukan sahaja memudahkan kerja, tetapi juga dapat memperluas skop pelaporan. Jadi saya harap dapat memperoleh lebih banyak ilmu penggunaan AI menerusi kursus ini,” katanya yang telah setahun berkhidmat di Astro Awani.

Berkongsi pandangan, Ain Najihah Ahmad Mazlan, 26, dari RTM yang berharap latihan ini dapat membantunya memahami kaedah terbaik untuk menghasilkan kandungan menggunakan AI, termasuk automasi tugasan harian.

“Saya juga ingin mengetahui bagaimana AI boleh membantu wartawan, contohnya dalam membuat transkripsi rakaman dengan lebih cepat,” katanya yang sudah dua tahun berkhidmat di RTM.

Program ini turut dibimbing oleh dua pakar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) iaitu Prof Madya Dr Azwa Abdul Aziz dan Dr Normala Rahim, yang mengetuai modul latihan berkaitan AI dan etika media.

Johor Bahru merupakan lokasi ketujuh penganjuran latihan ini selepas Kuala Lumpur, Cyberjaya, Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kedah, sebagai sebahagian daripada inisiatif Bernama mendigitalisasikan operasi editorial media tempatan dan memperkasakan daya saing pengamal media di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan