AM

Maah Hijrah 1447H: Mohd Na'im Seru Umat Islam Laksana Transformasi Menyeluruh

27/06/2025 11:13 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru umat Islam di negara ini supaya menghayati makna Hijrah yang tidak lagi terbatas kepada perubahan fizikal semata-mata, sebaliknya menuntut transformasi menyeluruh dari segi nilai, pemikiran dan sikap.

Beliau berkata rakyat dituntut berhijrah daripada sikap pasif kepada proaktif dan kebergantungan kepada daya juang sendiri dalam membina negara MADANI. 

Mohd Na’im berkata setiap rakyat menjadi ejen penggerak membudayakan ilmu, menjunjung nilai, mengutamakan perpaduan dan menghormati perbezaan sekali gus membangunkan keluarga, komuniti serta negara atas asas ihsan dan taqwa.

"Tahun ini, sambutan Maal Hijrah bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’, suatu gagasan yang amat bertepatan dengan roh hijrah Rasulullah SAW. 

"Tema ini menuntut kita mengangkat  semula peranan ummah sebagai ejen rahmat, adil, dan progresif – membina sebuah masyarakat yang berteraskan nilai dan berpaksikan akidah," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat menyempurnakan majlis berkenaan.

Turut berangkat ke majlis itu anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kabinet.

Hampir 8,000 tetamu menghadiri majlis sambutan itu termasuk kontinjen daripada kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan perwakilan asing.

Mohd Na’im berkata hijrah juga adalah detik memperbaharui azam menjadikan semua pihak lebih bersatu, berakhlak dan bermaruah demi “Membangun Ummah MADANI” yang bukan sahaja hebat di mata manusia, tetapi juga tinggi di sisi Tuhan. 

"Semoga tahun 1447H ini menjadi tahun hijrah kita semua iaitu hijrah ke arah rahmat, kebaikan dan kesejahteraan," katanya.

Seiring dengan tema hijrah itu, Mohd Na'im berkata kerajaan melalui Jabatan Perdana  Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggagaskan Pelan Transformasi Al-Falah 2023-2027 yang bertunjangkan lima nilai hijrah iaitu Ilmu, Integriti, Itqan, Istiqamah dan Ikhlas sebagai kerangka hala tuju strategik pembangunan Islam di Malaysia.

Menurutnya, ini sekali gus menjadikan pentadbiran Islam lebih mampan selain rakyat lebih menyumbang serta komuniti lebih peduli. 

Beliau berkata pelbagai inisiatif telah digerakkan antaranya Majlis Amanat Al-Falah 2025, Program Santuni Komuniti MADANI, Program Zikir Akbar, Dakwah Berimpak serta Santuni Anak Yatim dan Petugas Barisan Hadapan.

"Semua ini mencerminkan bahawa roh hijrah sedang diterjemahkan dalam bentuk tindakan iaitu menyantuni rakyat, memperkukuh nilai dan memperkasakan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan