AM

Bekas Kadi Besar Johor Anoar Sarimin Sifatkan Pengiktirafan Pemangkin Semangat Berdakwah

27/06/2025 03:34 PM

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor 1447H/2025M Anoar Sarimin yang juga bekas Kadi Besar Negeri Johor menyifatkan pengiktirafan diterimanya sebagai pemangkin semangat untuk terus giat berdakwah dan menyebarkan syiar Islam. 

Bapa kepada empat cahaya mata dan berasal dari Kampung Parit Kassan, Tangkak, itu aktif berceramah selain berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor selepas bersara pada 2022.

“Alhamdulillah untuk anugerah ini yang sangat tinggi buat diri saya, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan anugerah ini serta pihak kerajaan.

‘’Saya sangat bersyukur kepada Allah dan mudah-mudahan anugerah ini memberi semangat untuk saya terus aktif berdakwah setiap hari, setiap malam untuk bersama-sama membimbing umat Islam di mana juga mereka berada,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1447H/2025M di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.

Anoar, 63, berkhidmat sebagai Kadi Besar Negeri Johor dari 2018 hingga 2020 sebelum menggalas  peranan sebagai Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor dari 2020 hingga 2022.

Beliau turut berkongsi antara kenangan manis sepanjang berkhidmat, iaitu ketika mengendalikan Sambutan 100 tahun Pendidikan Islam Negeri Johor pada 2018 serta Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1143H/2022M.

Terdahulu, Mohd Fared dalam ucapannya mengajak umat Islam berani melakukan penghijrahan dan bangkit menyahut cabaran untuk memajukan diri.

“Ambillah peluang untuk memajukan diri ke tahap lebih baik. Kerajaan Johor percaya bahawa kemajuan tidak akan bermakna jika rakyatnya hilang arah dan longgar nilainya. Sebab itu, usaha membangun ummah mesti seiring dengan pembangunan negeri," katanya.

Beliau berkata sambutan bertemakan “Membangun Ummah Maju Johor” hari ini juga cerminan hasrat kerajaan negeri untuk memacu pembangunan yang meliputi keseluruhan aspek.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan