KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sesi perbahasan hari pertama usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan pelbagai isu dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang merangkumi aspek perlindungan sosial, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Antara isu yang dibangkitkan ialah gesaan supaya kerajaan mengambil pendekatan fleksibel dan berteraskan pilihan berhubung cadangan pembayaran pencen secara bulanan menerusi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata pengeluaran simpanan persaraan tidak wajar bersifat mandatori memandangkan opsyen anuiti (pembayaran wang dengan jumlah dan jarak waktu tertentu) telah wujud dalam kerangka KWSP.
Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC) itu berkata sekiranya cadangan anuiti bulanan itu mahu diperluas, ia mesti dilindungi daripada susut nilai akibat inflasi.
“Struktur bayaran pencen bulanan itu perlu disemak secara berkala dan ditingkatkan seiring dengan kos sara hidup semasa ... saya harap kerajaan akan ambil pendekatan berperingkat, fleksibel dan berteraskan pilihan serta memastikan sebarang skim baharu memberi perlindungan jangka panjang yang efektif kepada rakyat,” katanya.
Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi sebelum ini, kerajaan akan meneroka satu mekanisme baharu bagi menjamin pendapatan yang berterusan selepas bersara, bertujuan meningkatkan kesejahteraan pekerja termasuk pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.
Selain itu, Mohd Shahar turut mencadangkan supaya senarai barangan dalam Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disemak semula dengan mengutamakan pemakanan sihat seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjamin pembangunan kesihatan jangka panjang, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
“Laporan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menunjukkan kadar stunting dan wasting kanak-kanak di Malaysia masih tinggi, masing-masing 21 peratus dan 11 peratus, justeru program ini juga wajar diselaraskan dengan kempen pemakanan sihat KKM supaya bantuan bukan sahaja mengenyangkan tetapi turut menyihatkan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mencadangkan penubuhan semula Majlis Agenda Bumiputera Negara (MABN) dengan fungsi pelaksanaan yang lebih berkesan, termasuk penubuhan dana inovasi khusus bagi menyokong usaha bumiputera dalam sektor teknologi tinggi dan industri hijau.
Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) pula menekankan kepentingan beberapa anjakan dalam sistem pendidikan, antaranya keperluan menyediakan perkhidmatan pendidikan prasekolah universal bermula daripada umur lima tahun.
“Kalau kanak-kanak tidak dididik pada umur yang potensi perkembangannya adalah baik, iaitu pada umur lima ke sembilan tahun, bila meningkat usia ke darjah empat atau lima, buatlah macam mana pun mereka sudah ketinggalan.
“Negara-negara lain menghabiskan sumber semasa pendidikan awal, bukannya semasa universiti, Tingkatan Lima dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya tempoh persekolahan tamat lebih awal, iaitu pada umur 16 tahun kerana langkah itu juga membolehkan generasi muda memasuki sektor pekerjaan lebih awal, iaitu sekitar umur 21 tahun, terutamanya memandangkan populasi negara yang semakin menua.
Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pula mencadangkan reformasi menyeluruh pendidikan perlu mengambil kira keperluan masyarakat di luar bandar termasuk mendahulukan projek infrastruktur pendidikan luar bandar sekali gus merapatkan jurang pelajar bandar dan desa.
Dalam mendepani negara menua, Wong Shu Qi (PH-Kluang) mencadangkan rang undang-undang penjagaan warga emas segera digubal dan dibentangkan di Dewan Rakyat bagi memastikan kebajikan golongan itu sentiasa terbela.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem pembiayaan penjagaan jangka panjang seperti insurans bagi warga emas.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial