AM

JAKOA Peruntuk RM1 Juta Bina Tabika Untuk Masyarakat Orang Asli Di Kuala Betis

04/08/2025 09:15 PM

GUA MUSANG, 4 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi pembinaan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) baharu di Kampung Orang Asli Teranek, Kuala Betis di sini bagi meningkatkan kemudahan pendidikan awal dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor berkata tabika itu amat diperlukan kerana sebelum ini, sesi pembelajaran terpaksa dijalankan di sebuah surau di Kampung Rod.

“Kita akan pindahkan tabika yang kini beroperasi di surau ke bangunan baharu ini selepas selesai pemeriksaan kecacatan bangunan dan pemasangan kelengkapan.

"Premis berkenaan dijangka boleh digunakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas semua urusan teknikal diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapenyerahan Projek Pembinaan Tabika KOA Teranek hari ini.

Beliau berkata ketika ini, murid terpaksa berkongsi ruang di surau yang turut digunakan oleh jemaah untuk bersolat dan ini menyebabkan ketidakselesaan serta mengganggu tumpuan pembelajaran mereka.

Sapiah turut memaklumkan bahawa projek itu adalah hasil kerjasama antara JAKOA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Kelantan yang dilaksanakan kontraktor dilantik oleh Jabatan Kerja Raya.

“Beberapa lagi projek pembinaan tabika akan dilaksanakan di penempatan Orang Asli lain, bergantung kepada keperluan di negeri-negeri seperti Perak, Pahang, Kelantan dan Johor,” katanya.

Beliau berkata JAKOA sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur dan kebajikan masyarakat Orang Asli termasuk melalui permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

“Kita kini dalam fasa Rolling Plan Ketiga (RP3) selepas RP1 dan RP2. Antara yang dibincangkan ialah pembinaan jambatan, bangunan serta projek perladangan bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli,” katanya.

Sapiah juga berharap Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan terus memberi perhatian dan meluluskan projek yang telah dikemukakan untuk manfaat jangka panjang komuniti Orang Asli di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan