SUKAN

Jeeno Thitikul, Bintang No.1 Dunia Ketuai Senarai Bintang Ke Kejohanan Maybank 2025

17/09/2025 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pemain nombor satu dunia Jeeno Thitikul dari Thailand dan pemenang Sukan Olimpik Paris 2024 Lydia Ko dari New Zealand bakal menyerikan saingan Kejohanan Golf Maybank 2025 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara, di sini dari 30 Okt hingga 2 Nov ini.

Jeeno muncul naib juara edisi lepas apabila tewas dengan satu pukulan kepada pemain China, Yin Ruoning.

Menurut kenyataan penganjur hari ini, kejohanan bernilai USD3 juta (kira-kira RM12.6 juta) itu turut bakal disertai 16 pemain ternama lain termasuk bintang Australia, Grace Kim; pemain meningkat naik dari Jepun, Miyu Yamashita; serta sensasi England, Lottie Woad, yang mencipta kejutan menjuarai Kejohanan Wanita Terbuka Scotland dalam penampilan sulungnya sebagai pemain profesional pada Julai lepas.

“Grace Kim, yang meraih kejuaraan utama pertamanya dan kemenangan kedua LPGA (Persatuan Golf Profesional Wanita) musim ini di Kejohanan Evian selepas menewaskan Jeeno dalam aksi play-off dramatik, bakal menjadi antara tumpuan utama di KLGCC,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, lima pemain negara bakal mengibarkan Jalur Gemilang di KLGCC iaitu Mirabel Ting, Ashley Lau, Kelly Tan, Liyana Durisic dan Genevieve Ling.

Ting dan Lau sebelum ini mencetuskan keterujaan peminat tempatan apabila tampil cemerlang pada edisi lalu, masing-masing menamatkan saingan di kedudukan T12 dan T22.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan