AM

10 Wartawan Wanita Mula Misi Tawan Puncak Gunung Kinabalu

09/09/2025 05:56 PM

RANAU, 9 Sept (Bernama) -- Sepuluh wartawan wanita daripada Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) mencipta sejarah sebagai kumpulan pengamal media wanita terbesar di Malaysia memulakan misi menawan puncak Gunung Kinabalu hari ini.

Presiden PERTAMA Sariha Mohd Ali berkata kumpulan yang terdiri daripada wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Berita Harian, Utusan Malaysia, Harian Metro, Malaysiakini serta Media Selangor itu memulakan pendakian pada 8.30 pagi dan dijangka kembali ke Timpohon Gate pada petang esok, bagi menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 4,095 meter dari aras laut.

Beliau berkata ekspedisi anjuran PERTAMA itu mendapat sokongan strategik daripada Penerbangan Malaysia dan Takaful Malaysia serta kelulusan permit khas pendakian yang diperoleh pada April lepas.

Menurut Sariha, kumpulan itu hanya sempat berlatih beberapa kali akibat kekangan masa kerana tugas, namun itu bukan halangan untuk mereka melakukan pendakian berkenaan.

“Semangat jitu ditunjukkan peserta untuk menjayakan ekspedisi ini sangat mengagumkan,” katanya, yang bersyukur dengan pelepasan ahli persatuan untuk mendaki Gunung Kinabalu hari ini.

Beliau yang juga Pengarang Berita Kanan Berita Harian turut berharap pendakian itu menjadi pemangkin semangat untuk terus berjuang dalam dunia kewartawanan yang penuh cabaran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Shahelmey Yahaya berkata kerajaan negeri berbangga dengan semangat yang ditunjukkan warga media wanita untuk menakluk gunung itu, sekali gus mempromosikan destinasi pelancongan utama Negeri di Bawah Bayu.

“Kesibukan menjalankan tugas melaporkan berita setiap hari tidak menghalang mereka melakukan aktiviti yang dapat menyihatkan minda dan memastikan kecergasan berpanjangan,” katanya ketika menerima kunjungan pendaki dan lima Ahli Jawatankuasa PERTAMA di pejabatnya semalam.

Beliau berkata aktiviti pendakian gunung bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal, malah menguji kekuatan mental dan semangat berpasukan dalam kalangan warga media yang sentiasa sibuk dengan tugas harian membuat liputan berita.

“Kejayaan menawan puncak Kinabalu bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi lambang kekuatan dan kebersamaan ahli media wanita dalam PERTAMA, sekali gus menjadi inspirasi bahawa wanita mampu menggalas cabaran besar, sama ada di lapangan kerjaya atau kehidupan," katanya.

Gunung Kinabalu atau lebih dikenali sebagai ‘Aki Nabalu’ dalam bahasa Kadazandusun membawa maksud ‘gunung nenek moyang’ terletak di Kundasang, dalam daerah Ranau kira-kira 100 kilometer arah timur dari Kota Kinabalu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan