Oleh Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Tatacara Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (DPA - Deferred Prosecution Agreement) merupakan antara inisiatif baharu yang dicadangkan untuk memperkukuh sistem keadilan jenayah negara.
Di peringkat antarabangsa, mekanisme ini telah diamalkan di negara seperti United Kingdom (UK), Singapura, Kanada dan Amerika Syarikat khususnya dalam menangani kesalahan korporat serta ekonomi.
Contohnya pada 2017, Syarikat Rolls-Royce menandatangani DPA dengan Serious Fraud Office (SFO) UK selepas siasatan global terhadap dakwaan rasuah.
Begitu juga syarikat penerbangan gergasi Boeing menandatangani DPA dengan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan membayar penalti serta pampasan berjumlah USD2.5 bilion berkaitan insiden nahas dua pesawat 737 MAX yang mengorbankan 346 nyawa.
Malaysia bakal memperkenalkan tatacara ini dalam kerangka undang-undang nasional, dengan hasrat menjadikan ia satu instrumen efektif dalam usaha menegakkan keadilan, memulihkan integriti korporat dan melindungi kepentingan awam.
Apakah itu DPA?
Secara asasnya, DPA ialah suatu perjanjian yang dimeterai antara pendakwa raya dan sesebuah entiti sah seperti syarikat, pertubuhan atau perkongsian yang disiasat.
Melalui perjanjian ini, pihak pendakwaan boleh menangguhkan atau menyelesaikan kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh.
Penting untuk difahami bahawa DPA tidak bertujuan menggantikan proses keadilan jenayah sepenuhnya tetapi menawarkan tatacara alternatif untuk kes tertentu yang sesuai diperbaiki melalui pemulihan, pampasan dan reformasi dalaman.
DPA boleh ditawarkan kepada kesalahan yang melibatkan kepentingan ekonomi dan korporat termasuk rasuah, penipuan, pengubahan wang haram, pelanggaran undang-undang percukaian serta pasaran modal.
Walau bagaimanapun, ia tidak sesuai bagi kesalahan yang melibatkan kekerasan atau jenayah terhadap nyawa kerana sifat kesalahan tersebut tidak dapat ditebus melalui langkah pemulihan.
Seiring dengan penanda aras antarabangsa, pemakaian DPA di Malaysia terhad kepada entiti sah sahaja, tidak melibatkan individu.
Kelebihan Pelaksanaan DPA
Antara kelebihan utama DPA ialah ia menjimatkan kos dan masa perbicaraan, yang mana sabitan belum dapat ditentukan, di samping mengurangkan beban mahkamah.
Melalui pematuhan kepada syarat-syarat perjanjian,entiti sah dapat menambah baik tatakelola dalaman, memperkukuh integriti serta melaksanakan reformasi korporat yang diperlukan.
DPA juga berupaya menggalakkan syarikat tampil sebagai pemberi maklumat (whistleblower) tanpa bimbang reputasi mereka tercalar dengan pertuduhan terbuka di mahkamah.
Lebih penting, DPA selari dengan doktrin keadilan restoratif iaitu memastikan pihak yang melakukan kesalahan mengambil tanggungjawab untuk memulihkan kerosakan terhadap mangsa atau masyarakat.
Ia juga menyumbang kepada pemulihan aset negara serta mewajibkan syarikat untuk membiayai kos siasatan, melaksanakan program pematuhan dan menambah baik prosedur dalaman.
Kuasa Pendakwa Raya dan Syarat DPA
Kuasa untuk menawarkan DPA terletak sepenuhnya pada pendakwa raya selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam menimbang permohonan DPA, faktor utama yang dipertimbang ialah kepentingan keadilan, kepentingan awam dan kesan terhadap ekonomi negara.
Pendekatan ini bertujuan memastikan pekerja, pelabur dan pemegang taruh yang tidak bersalah tidak terkesan sekiranya syarikat berdepan pendakwaan penuh.
Bagi menjamin keberkesanan DPA dan keadilan restoratif, syarat-syarat tertentu perlu dipatuhi.
Antaranya ialah pernyataan fakta dan pengakuan mengenai kesalahan yang dilakukan, pembayaran penalti kewangan, pampasan kepada mangsa, sumbangan kepada badan kebajikan, pembayaran kos siasatan yang ditanggung oleh pihak berkuasa, reformasi tatakelola dan tadbir urus termasuk mewujudkan dasar antirasuah dan latihan integriti korporat serta kerjasama penuh dengan pihak berkuasa sepanjang tempoh perjanjian.
DPA lazimnya berkuat kuasa antara dua hingga lima tahun, dengan kemungkinan batal sekiranya terma tidak dipatuhi.
Sekiranya berlaku pelanggaran syarat, pendakwaan boleh dimulakan semula terhadap syarikat terbabit. Namun, ruang diberikan kepada syarikat untuk memberikan penjelasan munasabah dan memohon pindaan terhadap syarat tertentu tertakluk kepada budi bicara pendakwa raya.
Menjawab Kebimbangan Awam
Antara kebimbangan yang sering dibangkitkan ialah persepsi pilih kasih, seolah-olah hanya syarikat tertentu diberikan peluang DPA.
Untuk mengelakkan persepsi ini, kerajaan akan membangunkan garis panduan perundangan yang jelas meliputi kriteria kesalahan yang layak, prinsip pemilihan dan syarat pematuhan yang wajib dipenuhi.
Garis panduan ini akan memastikan pelaksanaan DPA adalah telus, berstruktur dan bebas daripada unsur pilih kasih.
Selain itu, peranan mahkamah turut dipertimbang.
Walaupun cadangan awal tidak memberi peranan substantif kepada mahkamah, pengalaman di luar negara menunjukkan mahkamah boleh memainkan fungsi penyeliaan untuk memastikan kepentingan awam terpelihara.
Perkara ini akan diteliti dengan mendalam sebelum dimuktamad.
Pemantauan dan Penguatkuasaan
Pelaksanaan DPA akan dipantau oleh agensi penguat kuasa yang berkaitan serta pihak ketiga bebas seperti juruaudit atau badan pemantau yang dilantik.
Laporan pematuhan perlu dikemukakan secara berkala kepada pendakwa raya bagi memastikan komitmen yang dipersetujui benar-benar dilaksanakan.
Secara keseluruhan, pengenalan DPA di Malaysia merupakan langkah progresif yang mengimbangi keperluan menghukum pesalah korporat dengan kepentingan memulihkan sistem ekonomi, melindungi mangsa dan memelihara keyakinan awam terhadap sistem perundangan.
Melalui pelaksanaan yang telus, berintegriti dan berpandukan garis panduan yang jelas, DPA mampu menjadi instrumen penting dalam agenda negara membanteras rasuah, memperkukuh tatakelola serta memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan lebih menyeluruh.
-- BERNAMA
Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ialah Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial