DUNIA

Tradisi Tanam Pokok Musim Monsun Pulihkan Landskap Hutan Myanmar

17/09/2025 06:38 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 17 Sept (Bernama) -- Di Myanmar, meskipun wujud jurang politik dan etnik yang mendalam, rakyatnya berkongsi satu aspirasi bersama - melindungi hutan mereka dengan apa cara sekali pun.

Kerajaan dahulu dan kini secara konsisten mengekalkan komitmen nasional untuk meningkatkan kawasan hijau negara itu, menjadikannya usaha bersama rakyat serta sumber kebanggaan masyarakat Myanmar.

“Pokok dan hutan membantu mencegah pemanasan global, perubahan iklim dan bencana alam sambil menyumbang kepada pemuliharaan air serta tanah, dan keselamatan makanan sebagai perkhidmatan ekosistem.

“Oleh itu, penanaman dan pengurusan pokok secara sistematik pasti menyokong penghijauan alam sekitar dan pembangunan mampan negara,” kata Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, menurut laporan media rasmi The Global New Light of Myanmar, hari ini.

Myanmar mempunyai kawasan hutan terbesar di Asia Tenggara, menjadikannya habitat pelbagai flora tropika, fauna dan hidupan liar eksotik, sebahagiannya berdepan kepupusan di peringkat global.

Negara itu berusaha memastikan 50 peratus daripada tanahnya diliputi hutan dan kini sedang menghampiri sasaran tersebut. Pada masa ini, liputan hutan Myanmar berada sekitar 42 peratus.

Penasihat Iklim Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Dr Renard Siew Yung Jhien, berkata penanaman pokok sebagai komitmen nasional amat berkesan kerana ia menyatukan rakyat, budaya dan alam semula jadi dalam satu tujuan bersama.

“Di Myanmar, ia bukan sekadar memulihkan hutan sebagai penyerap karbon; ia juga melindungi sumber air, memelihara biodiversiti, dan mengukuhkan daya tahan terhadap kejutan iklim.

“Apa yang menjadikannya lebih berimpak adalah pendekatan berpusatkan rakyat, menjadikan pemuliharaan sebagai tanggungjawab kolektif dan bukannya mandat kerajaan.

“Dalam hal ini, hutan bukan sahaja aset alam sekitar tetapi juga sauh sosial yang menyokong mata pencarian, menumbuhkan rasa bangga dan memberikan harapan untuk masa depan yang lebih sihat dan mampan,” katanya kepada Bernama.

Kerajaan telah menetapkan matlamat sifar penebangan hutan bersih menjelang 2023 dan menyambut ulang tahun ke-30 Hari Ozon Sedunia tahun ini, semuanya bertujuan memupuk alam sekitar yang sihat.

Penduduk memanfaatkan musim tengkujuh, tempoh yang sesuai untuk menanam anak pokok, dan kempen penanaman pokok yang diterajui kerajaan mendapat sambutan ketika musim hujan dari Mei hingga Oktober.

Anak pokok ferrea, neem, gum-kino dan Mesua magnolia antara spesies yang ditanam sepanjang musim hujan.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Pemuliharaan Alam Sekitar, hampir 22 juta pokok telah ditanam di seluruh negara tahun ini.

Kanopi hutan semula jadi yang tebal amat penting untuk Myanmar, yang sering berdepan cabaran alam sekitar akibat ribut kuat, taufan dan gempa bumi yang memberi kesan buruk kepada rakyat serta ekonominya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan