MELAKA, 16 Sept (Bernama) -- Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malaca akan berlangsung di Klebang, di sini pada 20 hingga 30 Sept ini, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz.
Beliau berkata pameran pahlawan Melayu dikenali sebagai Penglima Awang itu diadakan sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 Sept ini.
Akramuddin berkata pameran berkenaan adalah percuma kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 6 petang pada 20 hingga 25 Sept, manakala 10 pagi hingga 10 malam pada 26 hingga 30 Sept.
"Pelbagai bahan pameran terdiri daripada dokumen, manuskrip, arca, catatan dan pelan pelayaran melibatkan Panglima Awang dan pelayarannya mengelilingi dunia dapat dilihat secara dekat oleh pengunjung.
"Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mengangkat zaman kegemilangan Panglima Awang sebagai pelayar Melayu terbilang pada abad ke-16, tetapi juga mempromosikan Melaka kepada dunia khususnya delegasi atau pelancong sempena WTD dan WTC 2025," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Cuti Sekolah: Saya Anak Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2025 di Muzium Sejarah dan Etnografi, yang turut dihadiri Kurator Bahagian Pemuziuman (Pendidikan) Perzim Noor Azimah Md Ali di Banda Hilir hari ini.
Akramuddin berkata pameran Panglima Awang menjadi pilihan sempena program bertaraf dunia itu bertujuan menunjukkan kepada dunia bahawa Melaka adalah sebuah negeri hebat khususnya dalam sektor perdagangan pada abad ke-15 dan mempunyai ikon pelayaran yang bijaksana.
Beliau berkata pameran itu juga mampu meningkatkan jati diri generasi muda terhadap negara selain meningkatkan pengetahuan mereka tentang sejarah penting Melaka yang membawa kegemilangan negeri itu sehingga hari ini.
Terdahulu, pada Program Cuti Sekolah: Saya Anak Malaysia itu kira-kira 30 kanak-kanak berbilang kaum berusia tujuh hingga 12 tahun yang lahir pada September diraikan sempena sambutan Hari Malaysia 2025.
Akramuddin berkata program itu adalah satu daripada platform untuk memupuk semangat cinta akan negara selain memupuk perpaduan dalam kalangan mereka.
"Pelbagai aktiviti menarik seperti lawatan berpandu ke muzium dan menghias payung bertema Malaysia turut diadakan bagi meraikan Anak Malaysia ini," katanya.
Selain itu, kanak-kanak yang diraikan itu diberi keistimewaan untuk masuk ke semua muzium kelolaan Perzim secara percuma selama setahun bermula hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial