BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Rakyat berbilang kaum memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan hari ini dengan menyertai pelbagai aktiviti interaktif serta menyaksikan pameran bersejarah pada sambutan Hari Malaysia 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth.
Mohd Shukri Dan, 44, dari Sungai Petani, Kedah berkata dia mengambil kesempatan cuti umum ini untuk membawa isteri dan dua anaknya ke pameran pagi ini.
“Biasanya kalau cuti kami sekeluarga keluar makan atau ke pusat beli-belah, tetapi kali ini saya mahu kelainan sedikit. Bukan selalu saya bawa keluarga datang ke pameran sebegini, sekurang-kurangnya masa kami diisi dengan aktiviti berfaedah,” katanya kepada Bernama.
Ainna Fatihah Ismail, 41, dari Butterworth pula berkata dia tertarik melihat pameran berunsurkan tradisi Malaysia termasuk demonstrasi makanan.
"Saya memang minat lihat pameran budaya sebab kita boleh tengok kepelbagaian budaya di negara kita. Demontrasi makanan seperti ubi kayu yang orang gelar makanan zaman Jepun pun bagi saya menarik sebab kita boleh rasa sendiri apa yang orang dulu-dulu makan.
“Ia mengingatkan saya tentang betapa pentingnya kita mengekalkan warisan agar generasi muda tidak lupa akar budaya masing-masing,” kata suri rumah itu.
Tidak ketinggalan, Lim Wei Ling, 54, dari Bukit Mertajam yang teruja melihat koleksi artifak bersejarah dipamerkan termasuk surat khabar lama dan peta bersejarah dibawa khas oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.
"Saya memang suka barang-barang mempunyai nilai sejarah seperti surat khabar dan dokumen lama kerana bukan senang kita nak dapat tengok dengan mata sendiri. Jadi apabila saya dengar ada pameran surat khabar, peta-peta lama ada di sini, saya terus datang untuk lihat sendiri barang-barang sejarah kita ini," katanya.
Sementara itu, Miftahul Amran Zainal Abidin, 36, dari Balik Pulau pula memilih untuk menyertai pertandingan mewarna keluarga yang dianjurkan di ruang pameran.
“Seronok dapat luangkan masa dengan anak-anak sambil menyertai aktiviti seperti ini. Dapat mengeratkan hubungan keluarga, lagi pun aktiviti mewarna memang kegemaran anak saya,” katanya.
Kemuncak sambutan Hari Malaysia bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” malam ini dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial