AM

Penduduk Taman Lucky Semarakkan Sambutan Hari Malaysia Dengan Malaysia Day Walk

16/09/2025 12:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Malaysia, lebih 100 penduduk Taman Lucky di Bangsar hari ini menyertai program ‘Malaysia Day Walk’ yang bertujuan memupuk perpaduan dan mengeratkan kerjasama dalam kalangan masyarakat majmuk.

Program anjuran Persatuan Penduduk Taman Lucky itu menyaksikan para peserta berkumpul seawal 6.45 pagi di Jalan Tempinis 5 di sini dan acara dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebelum taklimat diberikan dan mereka dilepaskan untuk berjalan sejauh lebih tiga kilometer pada 7.30 pagi. 

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lucky K. Sarikha berkata program yang diadakan setiap tahun itu merupakan inisiatif bagi menggalakkan penglibatan inklusif dalam kalangan penduduk selain menyemai semangat patriotisme. 

“Untuk Hari Malaysia ini, ramai tidak tahu bagaimana kita hendak meraikan sambutannya... kalau Hari Merdeka, mereka tahu akan ada perarakan... kita buat aktiviti berjalan ini dan bawa bendera Malaysia, jadi semangat itu memang tinggi,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang acara itu berlangsung, kelihatan para peserta bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.

Program itu turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat serta wakil agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sementara itu, bagi Thaqif Ramadhan Shamsul Ariffin, 18, yang merupakan penduduk Pantai Dalam, program seperti ini bukan sahaja mengeratkan perpaduan antara kaum malah penting untuk menyemai kesedaran mengenai sejarah kemerdekaan negara dalam kalangan generasi muda agar mereka tidak mudah lupa. 

“Jadi, program ini boleh buatkan kita mengimbas kembali atau ingat semula sejarah dahulu macam mana pembentukan Malaysia... orang selalu ingat pasal 31 Ogos tetapi orang tidak ingat 16 Sept iaitu pembentukan Malaysia,” katanya.

Bagi penduduk Bangsar, Susie Wong, 65, semangat cinta akan negara yang tinggi dan kepelbagaian budaya dalam masyarakat memotivasikan beliau untuk menyertai acara itu setiap tahun. 

“Malaysia adalah sebuah negara yang sangat berwarna-warni… dan kami amat bangga menjadi rakyat Malaysia… setiap tahun, kami berkumpul bersama-sama jiran tetangga, berjalan sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan,” katanya. 

Semua peserta selamat tiba di lokasi penamat di Kebun-Kebun Bangsar pada 8.15 pagi, dan acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri Wilayah Persekutuan serta lagu patriotik seperti Tanggal 31 Ogos, yang membangkitkan rasa cinta dan bangga terhadap tanah air. 

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Lucky, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Lembah Pantai - Sub Zon 2 serta badan bukan kerajaan Ismaili Civic.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan