BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar diraikan pada setiap 16 Sept sebaliknya menjadi platform untuk menghidupkan semangat patriotisme secara berterusan sebagai tanda kecintaan kepada tanah air, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata semangat mempertahankan kedaulatan dan identiti negara perlu sentiasa hidup dalam diri setiap rakyat untuk mengingatkan kita bahawa menjadi rakyat Malaysia datang dengan tanggungjawab yang besar.
“Jadi pada sambutan Hari Malaysia ini, kita harap bukan sekadar yang kita zahirkan pada 16 Sept setiap tahun tetapi saya harap semangat patriotik itu dapat kita hidupkan.
“Jangan pada Bulan Kebangsaan sahaja kita bangga kibarkan Jalur Gemilang tetapi semangat itu harus ada pada kita dalam jiwa sanubari kita sepanjang tahun, setiap tahun.
“Kita mesti mempertahankan kedaulatan negara kita, identiti kita, negara kita. Itulah mesej yang saya nak sampaikan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program bual bicara di Bernama Mobile Studio sempena Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini hari ini.
Turut menjadi tetamu dalam program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa serta dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Pada masa sama, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan sambutan hari ini yang berlangsung sejak pagi hingga malam ini.
“... kita ada macam-macam reruai, macam-macam kaunter, banyak trak makanan, jadi boleh datang... kita buka dari sekarang hingga ke malam nanti... insya-Allah, selepas majlis rasmi kita akan ada persembahan bunga api... jadi, boleh datang beramai-ramai ke Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya Pertandingan Mewarna Keluarga, Pameran Hari Malaysia ‘Menelusuri Zaman’ yang melibatkan demonstrasi penyediaan makanan tradisional selain pameran pakaian dan peralatan warisan.
Acara kemuncak Sambutan Hari Malaysia 2025, yang menampilkan persembahan menarik serta acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025, pula akan berlangsung pada sebelah malam.
Sambutan tahun ini yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni' dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Edisi kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial