AM

RM704,750 Disalurkan Kepada JKKK, Persatuan Dan Pelajar Di Kapit

15/09/2025 03:21 PM

KAPIT, 15 Sept (Bernama) -- Sebanyak RM704,750 diagihkan kepada 64 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan di Daerah Kapit menerusi Majlis Penyerahan Cek dan Insentif Pelajar yang disempurnakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Selain itu, seramai 94 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) turut menerima insentif berjumlah RM500 seorang, dengan keseluruhan bantuan bernilai RM47,000.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit dalam ucapannya berkata setiap bantuan yang disalurkan perlu ditadbir dengan tatakelola baik supaya benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran.

“Proses pemberian bantuan mestilah telus. Walaupun jumlahnya kecil seperti RM500 sepintu bilik, penggunaannya tidak semestinya terus dibahagi sama rata.

“Sebaiknya ia diurus secara berhemah dengan sebahagiannya disimpan di akaun JKKK. Segala penggunaan juga perlu dilaporkan dan dipantau oleh pihak Majlis Daerah,” katanya.

Beliau menegaskan bantuan kerajaan bukan hanya diberikan ketika musim pilihan raya, sebaliknya merupakan usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar.

Menyentuh pembangunan di Kapit, Nanta berkata beberapa projek utama sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan Kolej Profesional MARA, Balai Polis Kapit, jambatan menyeberangi Sungai Batang Rajang berhampiran Nanga Yong serta jalan dari Nanga Semaram ke seberang Nanga Yong.

Turut dirancang projek pembinaan hotel, pembangunan semula kawasan lapangan terbang lama, sekolah baharu SMK Bukit Goram serta pembinaan Dataran Bujang Berani.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk setempat dan pemilik tanah tidak menghalang atau mensabotaj pelaksanaan projek kerajaan, sebaliknya berunding dengan baik demi memastikan pembangunan berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan