JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Percaya Beberapa Lagi Suspek Terlibat Seludup Senjata Api Ke Thailand

11/09/2025 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya terdapat beberapa lagi suspek warga negara ini terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata api ke Thailand susulan penahanan seorang lelaki rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa negara jiran itu di Sadao, Thailand baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata siasatan awal pihak berkuasa Thailand mendapati seorang lelaki ditahan bersama senjata api jenis M4, manakala beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu masih bebas.

“Hasil daripada mesyuarat KDNKA bersama Polis Thailand baru-baru ini dan maklumat risikan menunjukkan terdapat beberapa individu lain yang terlibat namun belum ditahan. 

“Mereka dipercayai telah kembali ke Malaysia tetapi saya tidak boleh mengulas lanjut kerana perkara ini di bawah siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman,” katanya pada sidang media selepas Ujian Rentas Halangan KDNKA di Markad Briged Tengah PGA, Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat bersama polis Thailand itu turut memberi fokus kepada ancaman jenayah rentas sempadan serta pertukaran maklumat risikan antara kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini sentiasa wujud dan kita saling bertukar maklumat. PDRM akan terus berusaha mempertingkatkan keselamatan sempadan sama ada sepanjang laluan darat mahupun di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS),” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat kaitan sindiket dadah dalam negara susulan penahanan seorang lelaki rakyat Malaysia bersama senjata api jenis M4 dan ratusan butir peluru di Sadao, bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan dakwaan senjata berkenaan diseludup masuk untuk kegunaan sindiket dadah.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada 5.35 petang di sekatan jalan raya oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao pada 29 Ogos lepas, manakala siasatan awal mendapati suspek mengaku diupah seorang lelaki untuk menyeludup senjata api ke Malaysia.

Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaa bernombor pendaftaran Malaysia menemukan dua laras raifal M4, 300 butir peluru kaliber 5.56 milimeter (mm), tujuh kelopak peluru 5.56mm, 100 butir peluru kaliber .45mm serta 50 butir peluru kaliber 9mm.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan