AM

Pengkalan Kubor Kian Sepi, Peniaga Sandar Harapan Pada Cuti Sekolah

10/09/2025 07:19 PM

Oleh Habsah Ismail

TUMPAT, 10 Sept (Bernama) -- Kawasan Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor, yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan untuk membeli-belah pelbagai barangan dari Thailand, kini semakin sepi.

Pengerusi Persatuan Peniaga Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor, Halim Husin berkata peniaga di situ menaruh harapan besar terhadap cuti sekolah minggu depan bagi mengembalikan semula kemeriahan jualan yang semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau yang berniaga barangan perkakasan dapur lebih 30 tahun berkata suasana di kawasan itu tidak lagi serancak dahulu berikutan pengaruh perniagaan dalam talian serta perubahan tabiat membeli-belah selepas Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19.

“Ramai berniaga melalui TikTok dan Shopee, kami pun ikut serta, tetapi pelanggan tetap suka datang ke kedai kerana puas hati dapat tengok barang depan mata. Cuma sekarang keadaan agak suram, sebab itu cuti sekolah dan cuti umum jadi harapan utama kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, kawasan bebas cukai itu mempunyai kira-kira 150 kedai dengan lebih 300 ahli termasuk pekerja dan masih mampu menarik pengunjung terutama ketika cuti panjang kerana kedudukannya berhampiran Pulau Suri (Floating Market) dan Laman Warisan Kampung Laut.

Halim berkata lokasi itu masih menjadi pilihan rombongan bas pelancong dan peniaga percaya cuti umum pada 15 dan 16 Sept ini iaitu cuti khas dan Hari Malaysia, akan membawa limpahan pengunjung.

Namun beliau mengakui kekurangan premis makanan menjadi cabaran kepada peniaga, apatah lagi ketika pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melaksanakan kerja baik pulih di kawasan makanan.

“Sepatutnya makanan perlu dipelbagaikan dan hidangan seperti nasi kerabu, daging salai dan makanan tradisi lain boleh dijadikan tarikan kerana makanan adalah faktor penting untuk menarik orang datang,” katanya.

Beliau berkata persatuan turut menasihati ahli supaya menjual barangan pada harga berpatutan serta menawarkan diskaun bagi memberi kepuasan kepada pengunjung, selain berharap PBT lebih proaktif mempromosikan kawasan itu.

Seorang peniaga lama, Wan Azmi Wan Salleh, 60, yang berniaga barangan dapur selama 40 tahun berkata jualan merosot kerana harga barangan tidak lagi sama seperti dahulu selain kurangnya acara promosi.

“Kalau boleh kerajaan negeri anjurkan lebih banyak program di sini. Saya juga cadangkan laluan berbumbung ditambah kipas kerana pengunjung sering merungut keadaan panas,” katanya.

Bagi Suriana Ismail, 54, yang berniaga pakaian sejak 20 tahun, berkata persaingan dengan peniaga dalam talian semakin mencabar sehingga ada kalanya sehari langsung tiada jualan.

“Pelanggan rombongan lebih tertarik dengan makanan dan barangan dapur. Kami yang jual pakaian memang perlahan, tambah pula harga di TikTok jauh lebih murah,” katanya.

Dalam pada itu, lebih 20 peniaga mengambil inisiatif mengumpul lebih RM2,000 untuk mengindahkan kawasan terbiar dengan menjadikannya tempat berehat, landskap dan ruang bergambar bagi kemudahan pengunjung.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Rosmaliza Ibrahim, 45, yang memulakan perniagaan pada 2020 menggunakan modal daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berkata produk seperti gajus masih laris ketika hujung minggu dan cuti sekolah.

Tinjauan Bernama di kawasan itu mendapati suasana agak lengang pada sebelah pagi sebelum mula dikunjungi orang ramai pada awal petang, dengan kebanyakan pengunjung menumpukan pembelian kepada barangan makanan dari Thailand yang ditawarkan lebih murah berbanding di tempat lain.

Walaupun berdepan cabaran, peniaga tetap berusaha menarik pembeli dengan menawarkan harga berpatutan serta meluaskan jualan ke platform dalam talian.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan