Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini menjelang cuti hujung minggu yang panjang dan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul esok.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.37 mata kepada 1,578.15 daripada 1,578.52 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.40 mata lebih tinggi kepada 1,579.92 dan kemudian bergerak antara 1,575.99 dan 1,581.89 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 552 berbanding 385 dengan 527 kaunter tidak berubah, 1,094 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 2.32 bilion unit bernilai RM2.30 bilion daripada 2.70 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dagangan lengang hari ini berikutan ketiadaan minat belian terutamanya disebabkan minggu dagangan yang singkat.
“Dengan hanya tiga hari dagangan, kita melihat volum rendah, bermakna kurang dagangan untuk minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Thong berkata keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus tidak mempunyai kesan ke atas pasaran saham tempatan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank menambah satu sen masing-masing kepada RM9.99 dan RM4.27, CIMB Group meningkat tujuh sen kepada RM7.30, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.91, bagaimanapun Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM13.06.
Bagi saham aktif, Sime Darby merosot tiga sen kepada RM2.03, Zetrix AI berkurangan 0.5 sen kepada 86.5 sen, Velesto Energy merosot satu sen kepada 20.5 sen, Tanco Holdings menguncup 0.5 sen kepada 79.5 sen, manakala DneX tidak berubah pada 24.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 11.24 mata kepada 11,715.29, Indeks FBMT 100 berkurangan 11.36 mata kepada 11,484.16, Indeks FBM Emas Shariah merosot 32.10 mata kepada 11,675.52, Indeks FBM 70 menguncup 54.69 mata kepada 16,434.71, manakala Indeks FBM ACE turun 15.36 mata kepada 4,738.73.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 42.48 mata kepada 18,114.44, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.50 mata kepada 162.99, Indeks Tenaga merosot 6.30 mata kepada 743.62 dan Indeks Perladangan menguncup 1.46 mata kepada 7,604.43.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.24 bilion unit bernilai RM2.09 bilion daripada 1.60 bilion unit bernilai RM2.54 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 723.44 juta unit bernilai RM108.28 juta daripada 744.83 juta unit bernilai RM117.03 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 363.27 juta saham bernilai RM96.72 juta daripada 354.82 juta saham bernilai RM145.97 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 246.16 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (193.73 juta), pembinaan (109.50 juta), teknologi (165.55 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.18 juta), hartanah (130.41 juta), perladangan (21.28 juta), REIT (31.29 juta), dana tertutup (288,900), tenaga (105.52 juta), penjagaan kesihatan (53.84 juta), telekomunikasi dan media (19.59 juta), pengangkutan dan logistik (32.34 juta), utiliti (48.04 juta) dan amanah perniagaan (390.200 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial