KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Menurut bank pusat itu, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan aktiviti yang dilakukan lebih awal.
Katanya penyelesaian sebahagian daripada rundingan perdagangan telah membantu meredakan ketidakpastian global.
“Prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal,” menurut BNM dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya perkembangan dasar perdagangan masih dijangka mempengaruhi pertumbuhan global pada masa depan apabila kadar tarif yang diumumkan berkuat kuasa dan aktiviti yang dilakukan lebih awal berkurang.
Menurut bank pusat itu, pertumbuhan kekal berisiko menjadi perlahan, meskipun pada tahap yang lebih rendah susulan kemungkinan tarif yang lebih tinggi terutamanya tarif yang khusus bagi produk serta ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
“Ketidakpastian yang berpanjangan ini boleh mengakibatkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi,” katanya.
Katanya pertumbuhan berpotensi menjadi pesat berikutan hasil yang menggalakkan daripada rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang masih berlangsung serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama 2025, disokong oleh aktiviti perbelanjaan dan pelaburan yang berterusan serta dijangka berkembang antara 4 peratus dan 4.8 peratus pada 2025.
Menjelang 2026, BNM berkata pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah,” katanya.
Katanya pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Prospek ini kekal tertakluk pada ketidakpastian, khususnya berhubung dengan perkembangan global,” katanya.
Katanya risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan, sentimen yang lebih lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Sementara itu, katanya hasil yang menggalakkan daripada rundingan perdagangan AS yang masih berlangsung, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, permintaan yang berterusan untuk barangan elektrik dan elektronik serta aktiviti pelancongan yang giat boleh meningkatkan prospek eksport dan pertumbuhan Malaysia.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras, masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus dan 1.9 peratus pada tujuh bulan pertama tahun ini.
“Inflasi keseluruhan pada 2025 dan 2026 dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terkawal. Trend harga komoditi global yang mereda dijangka menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana,” katanya.
Inflasi teras dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjang, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
“Trend ini dijangka berterusan pada 2026. Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang telah dan akan diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal,” katanya.
Pada tahap OPR semasa, BNM berkata MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial