AM

Festival Kraf Perak 2025 Sasar Nilai Jualan RM1.4 Juta

01/09/2025 03:01 PM

TELUK INTAN, 1 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan nilai jualan RM1.4 juta melalui penganjuran Festival Kraf Perak (FKP) 2025 yang berlangsung di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini dari 28 Ogos lepas hingga 7 Sept ini.

Ketua Setiausaha MOTAC  Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata sasaran itu boleh dicapai dengan mengambil perbandingan nilai jualan RM1.12 juta yang berjaya diperoleh pada penganjuran tahun lepas.

Beliau berkata bagi memperkasakan lagi festival tahun ini, MOTAC menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) mengetengahkan aktiviti padanan perniagaan melalui pertemuan usahawan kraf dengan syarikat pengeksport, agensi kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli-belah. 

"Aktiviti ini membuka peluang kerjasama antara usahawan kraf dan pihak pembeli yang berpotensi dalam memperluas pasaran, meningkatkan jualan serta memperkukuh jaringan perniagaan secara strategik dan berterusan," katanya pada sidang media selepas sesi tinjauan mesra sempena FKP 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Ainu Sham Ramli.

Shaharuddin berkata festival menyasarkan kehadiran 110,000 pengunjung dengan penglibatan 55 usahawan kraf yang mengetengahkan pelbagai jualan kraf seperti tekstil serta produk berasaskan hasil rimba, tanah dan logam.

Beliau berkata pelbagai aktiviti diadakan sepanjang festival berlangsung antaranya pameran produk kraf baharu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan yang bermotif identiti negeri.

“Turut diadakan program pengembangan ilmu seperti aktiviti interaktif kraf, ekspresi kraf dan fun craft selain aktiviti galakan pengunjung iaitu pertandingan bolah sepak jalanan, bilah tajam, gusti lengan dan kolaj Merdeka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan