Daripada Voon Miaw Ping
BEIJING, 2 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku hasil karya usahawan, ahli ekonomi dan sarjana terkenal China, Dr Yan Lijin.
Pelancaran itu diadakan di luar pertemuan perniagaan beliau dengan pelabur dan pemimpin perniagaan China di sini pada Selasa.
Buku berbahasa Cina berjudul Malaysia, Truly Asia: A Country That Captivates the Heart turut memaparkan kata pengantar yang ditulis oleh Anwar sendiri.
Dalam kata pengantar itu, Anwar menyatakan bahawa Yan telah memainkan peranan aktif dan penting dalam memupuk hubungan antara China dengan negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Beliau berkata pemahaman dan pengiktirafan Yan terhadap nilai, budaya dan visi pembangunan Malaysia mencerminkan kasih sayangnya yang mendalam terhadap negara ini.
"Selama ini, beliau bukan sahaja menjadi sekutu kepada Malaysia, tetapi juga seorang sahabat sejati," kata beliau.
Anwar berkata buku itu memberi pembaca gambaran yang mempesona tentang Malaysia – sebuah negara yang dinamik dan bertenaga, mengekalkan biodiversiti yang kaya, kepelbagaian budaya, dan memastikan keseimbangan antara tradisi dengan kemodenan.
"Pandangan unik beliau akan memberikan perspektif baharu kepada mereka yang ingin melabur, belajar atau meneroka Malaysia.
"Pemikirannya juga menonjolkan peranan penting Malaysia dalam Inisiatif Jalur dan Laluan dan kedudukan istimewa sebagai hab pertumbuhan ekonomi, integrasi budaya dan industri hijau di Asia Tenggara," kata Anwar.
Perdana Menteri berkata pengukuhan pertukaran antara Malaysia dengan China akan membolehkan kedua-dua negara bekerjasama rapat untuk membuka lebih banyak peluang dan menangani cabaran masa hadapan.
Menurut isi kandungan buku berkenaan, naskhah itu bukan sahaja menghuraikan visi Malaysia MADANI, tetapi juga membincangkan pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia, pertukaran budaya dan prospek masa hadapan Inisiatif Jalur dan Laluan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial