JAKARTA, 25 Ogos (Bernama) -- “Catur ini macam kehidupan. Setiap gerakan ada kesan, setiap pilihan ada akibat. Jadi, kita kena berfikir baik-baik sebelum buat keputusan.”
Itu perkataan yang keluar daripada mulut Ainnur Asyikin Jupineh, 16, yang seolah-olah memberi ‘pengajaran’ tentang kehidupan kepada sesiapa yang mendengarnya.
Namun, siapa sangka kata-kata penuh hikmah itu lahir daripada seorang anak kecil yang rambutnya pernah gugur sehingga hampir botak, tahap kesihatan merudum dan hari-harinya dipenuhi bau ubat serta bunyi mesin hospital.
Dilahirkan normal, Ainnur Asyikin dikesan menghidap kanser pangkal hidung atau Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) pada usia 10 tahun dan perlu menjalani rawatan intensif termasuk 33 sesi radioterapi serta tiga kitaran kimoterapi yang menyakitkan tubuh badan dan menjejaskan pendengarannya sehingga 58 peratus.
Enam tahun kemudian, anak jati Sabah itu berdiri di podium Sukan SEA Pekak 2025 bukan lagi sebagai pesakit kecil lemah tetapi juara yang membawa pulang pingat emas buat Malaysia.
“Alhamdulillah, syukur atas segala-galanya. Saya memang suka sangat dengan catur sebab ini adalah sukan minda bukan sukan fizikal,” katanya kepada Bernama.
Ainnur Asyikin yang tidak lekang dengan senyuman menanam impian besar untuk mencapai kejayaan di peringkat tertinggi dalam catur dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia dengan menjadikan Grandmaster (GM) pertama Malaysia Yeoh Li Tian sebagai idola dan sumber inspirasinya.
Beliau turut menjadikan setiap sesi latihan dan pertandingan sebagai medan untuk membuktikan kehebatan dirinya terus mencetak nama serta meraih pelbagai gelaran sehingga peringkat dunia.
Di sebalik kejayaan itu, terdapat dua watak luar biasa yang sentiasa berdiri teguh sebagai tulang belakang, ‘menolak’ dan ‘mengujinya’ setiap hari, memastikan tiada yang mustahil bagi Ainnur Asyikin untuk menjalani hari-hari biasa seperti kanak-kanak lain.
Bapanya Jupineh @ Juppe Sikin, 51, dan ibu Erneza @ Hardiana Sah, 48, tanpa jemu ‘menumpahkan’ sokongan, air mata dan kasih sayang mereka untuk menjadi sandaran buat anak kedua daripada lima beradik yang mesra disapa ‘Adik’ itu.
Ibunya, yang menjadi penjaga setia sepanjang rawatan di hospital masih tidak dapat melupakan detik paling memilukan apabila anak perempuan itu menatapnya dengan mata yang sayu sambil mengucapkan tiga perkataan yang menembusi jiwa: “Mama, rambut adik…”
Justeru, tiada apa yang lebih diinginkan selain melihat anak yang lahir daripada rahimnya itu sihat dan gembira walaupun menyedari kanser yang tiada istilah ‘bebas sepenuhnya’ terus menjadi sebahagian realiti mereka.
“Sebelum diagnosis, naluri saya rasa ada yang tak kena. Dia mengalami selesema yang tidak berhenti selama setengah tahun. Semakin lama, semakin teruk. Nafasnya semasa tidur akan berdengkur kuat seperti orang tua.
“… lepas itu Ainnur Asyikin terima rawatan lengkap mengambil masa kira-kira satu tahun enam bulan. Sekarang dia sudah tidak menjalani rawatan kanser, tetapi masih perlu menghadiri temu janji setiap enam bulan untuk pemeriksaan susulan,” katanya, yang turut menemani Ainnur Asyikin bersama suaminya di Jakarta.
Sementara itu, Jupineh berkata menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk terus menyokong anak mereka tanpa menyembunyikan kekurangannya kerana itu adalah hak anak yang harus dihormati.
Terdahulu, Ainnur Asyikin meraih tiga pingat emas menerusi acara catur standard wanita, mixed rapid dan blitz wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial