DUNIA

Malaysia Kecam Kaedah Penyampaian Bantuan, Pembunuhan Wartawan Di Gaza

25/08/2025 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan rasa terkejut dan kecewa  terhadap penenteraan bantuan kemanusiaan di Gaza, menyifatkannya sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang nyata.

“Kami terkejut dan kecewa dengan penenteraan bantuan kemanusiaan menerusi operasi Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF). 

“Lebih 1,700 orang awam maut ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan yang dikendalikan GHF sejak ia mula beroperasi pada Mei tahun ini. Ini mesti dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad berada di Jeddah, Arab Saudi untuk menghadiri Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menteri Luar itu menegaskan bahawa tindakan Israel memperalatkan bantuan kemanusiaan serta mengenakan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin merupakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Malah semakin jelas bahawa sedang berlaku genosid oleh Israel di Gaza.

Israel mesti dipertanggungjawabkan atas semua jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Mohamad berkata masyarakat antarabangsa perlu mendesak Israel membenarkan penghantaran bantuan segera tanpa halangan, diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta memastikan keselamatan petugas kemanusiaan.

“Kita mesti memberi tekanan maksimum untuk memaksa Israel membenarkan aliran segera dan tanpa halangan bantuan kemanusiaan ke dalam dan di seluruh Gaza, diterajui PBB. Israel mesti bekerjasama sepenuhnya dengan PBB dan melindungi semua staf serta petugas kemanusiaan yang beroperasi di Gaza.

“Sehubungan itu, Malaysia berpendirian bahawa peranan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Rakyat Palestin di Asia Barat) tiada galang gantinya. Malaysia akan terus menyokong UNRWA, dari segi kewangan dan politik, dalam menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat Palestin,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai pembunuhan wartawan di Gaza.

“Kami juga mengecam tindakan menyasarkan wartawan dan petugas media oleh tentera Israel di Gaza, yang merupakan jenayah perang. Setakat ini, kira-kira 238 wartawan telah terbunuh, menjadikan konflik di Gaza perang paling berbahaya dalam sejarah terhadap wartawan.

“Kebebasan media mesti ditegakkan dan dilindungi. Israel mesti membenarkan media bebas dan antarabangsa membuat liputan dari Gaza serta menyediakan perlindungan secukupnya kepada mereka,” katanya.

Mesyuarat OIC itu diadakan sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan Israel yang berterusan di Gaza, dengan tujuan menyelaras pendirian serta tindakan negara anggota terhadap krisis itu.

Pertubuhan itu mewakili 57 negara majoriti Islam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan