KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif Malaysia bagi Ogos 2025 dijangka kukuh berbanding Julai, dipacu oleh jualan agresif sempena sambutan Merdeka.
MBSB Investment Bank Bhd berkata momentum jualan juga diunjurkan kekal tinggi bulan ini, disokong oleh peningkatan ketersediaan stok.
"TIV bagi kenderaan penumpang dijangka menerima sokongan daripada pelancaran model baharu pada separuh pertama 2025, manakala penurunan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini dilihat membantu memulihkan sentimen pembelian," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata jenama nasional kekal utuh, meraih bahagian pasaran daripada jenama bukan nasional, terutamanya Perodua, didorong oleh permintaan segmen mampu milik yang berterusan, pelancaran baharu yang menarik dan trend peralihan pengguna pasaran kepada model yang lebih murah.
Dalam kalangan jenama bukan nasional, Mazda dilihat paling terkesan berikutan pelancaran model baharu yang perlahan serta persaingan sengit daripada jenama China.
“Bagi Julai 2025, Chery menduduki tempat ketiga manakala BYD turun ke tempat keempat, yang kami percaya berpunca daripada pengurangan bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) berikutan kemasukan lebih banyak jenama EV ke pasaran,” katanya.
Bank itu mengunjurkan TIV Malaysia sebanyak 805,000 unit bagi 2025, dipacu oleh minat belian awal susulan penangguhan peraturan duti eksais baharu sehingga akhir 2025.
Ia menjangka Perodua menjadi penerima manfaat utama dengan penguasaan pasaran TIV sebanyak 44 peratus, disokong oleh kadar lokaliti tertinggi, pelancaran baharu yang menarik, peningkatan pendapatan isi rumah, kenaikan gaji minimum sejak Februari 2025 serta pasaran buruh yang stabil.
Bagaimanapun, segmen premium berkemungkinan menghadapi cabaran, ekoran pelanggan sasaran menangguhkan pembelian baharu, beralih kepada model yang lebih kecil, atau memilih hibrid dan EV bagi mengurangkan kos bahan api selepas pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api, katanya.
Pada masa sama, bank itu berkata belanjawan isi rumah dijangka berdepan tekanan berikutan kenaikan kos bahan api dan jangkaan peningkatan tarif asas elektrik sebanyak 14 peratus bagi penggunaan tinggi, yang boleh mendorong pengguna dengan pemasangan panel solar beralih kepada EV.
Kos penyelenggaraan rutin EV pula kekal jauh lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman, memandangkan bilangan komponen bergerak yang lebih sedikit serta kadar haus dan lusuh yang rendah, kata bank itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial