AM

AI Bantu Tingkat Ketepatan Diagnosis Kesihatan - Dzulkefly

22/08/2025 12:29 AM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kesihatan negara bagi meningkatkan ketepatan diagnosis penyakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penggunaan AI telah pun diterapkan dalam beberapa inisiatif di lapangan termasuk Lung Health Initiatives atau Program Inisatif Kesihatan Paru-Paru yang memanfaatkan data diagnosis khususnya sinar-X.

“...kami menggunakan AI untuk diagnosis data sinar-X. (Ini) kerana…sukar untuk membuat (diagnosis) terutama nodul yang kita tidak tahu sama ada ia adalah tuberkulosis ataupun bukan.

"Tetapi AI akan membantu kami mendapatkan ketepatan dalam diagnosis itu. Itu satu contoh,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Menuju Sistem Penjagaan Mampan dan Inklusif’, malam ini.

Beliau berkata AI kini semakin berkembang pesat dalam bidang onkologi serta pelbagai bidang lain seperti kardiologi, pembedahan, perubatan am, pembedahan khusus dan pergigian serta penggunaannya dijangka akan terus meningkat dalam masa terdekat.

“Kita memang akan guna pakai lebih banyak aplikasi AI dan penyelidikan AI yang terkait dengan kesihatan, sama ada dalam bentuk penyelidikan mahupun dalam bentuk perkhidmatan,” katanya yang menambah KKM komited melaksanakan inisiatif berkenaan.

Mengulas isu buli, Dzulkefly berkata KKM mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk buli dalam kalangan warganya di tempat kerja sebagai usaha mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan harmoni.

Menurutnya, beliau telah menghantar mesej tegas sejak awal pentadbirannya bahawa amalan buli tidak boleh diterima sama sekali, dengan lebih 400 aduan telah diterima setakat ini.

“Jadi saya yakin menyebut tentang wujudnya garis panduan pengurusan buli ini sudah cukup memberikan satu tekanan dan satu amaran kepada buli yang berpotensi berlaku di tempat kerja dalam KKM,” katanya.

Selain itu, Dzulkefly berkata pembentukan iklim kerja yang adil dan selamat harus bermula dengan nilai perikemanusiaan dan keperibadian yang berasaskan kasih sayang.

Langkah pencegahan katanya tidak hanya bergantung kepada garis panduan tetapi juga perlu didukung oleh nilai kemanusiaan dan empati.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan