EKONOMI

Belanjawan 2026: Top Glove Harap Bayaran Balik Cukai Dipercepat Bagi Ringankan Aliran Tunai

09/10/2025 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd berharap agar bayaran balik cukai bagi lebihan pembayaran dapat dipercepatkan untuk menambah baik aliran tunai dan meningkatkan kecekapan operasi.

Pengarah Urusan Lim Cheong Guan berkata walaupun syarikat itu tidak memohon insentif cukai menjelang Belanjawan 2026, namun ia berharap agar proses pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

“Kami tidak mahu menuntut insentif cukai kerana kami memahami usaha rasionalisasi fiskal kerajaan pada masa ini dan keperluan untuk membina semula rizab.

“Permintaan kami adalah dari segi pentadbiran. Kami berharap kerajaan dapat mempercepatkan bayaran balik cukai bagi lebihan pembayaran,” katanya pada taklimat keputusan suku keempat kumpulan itu hari ini.

Selain itu, Lim berkata kelonggaran dalam pengambilan pekerja asing masih penting untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat walaupun tahap automasi dalam operasi syarikat telah dipertingkatkan.

“Kami telah mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja dengan ketara kepada kira-kira 1.6 pekerja bagi setiap satu juta keping sarung tangan, tetapi beberapa tenaga kerja masih diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Top Glove Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata persekitaran dasar yang stabil dan cekap adalah penting untuk memastikan perniagaan kekal berdaya saing di peringkat global.

“Kami tidak mengharapkan subsidi, tetapi kami berharap agar tidak dibebankan dengan terlalu banyak kos tambahan atau cukai.

“Syarikat mesti kekal untung supaya kita boleh terus menyumbang secara positif kepada ekonomi, masyarakat dan negara,” katanya.

Top Glove kembali mencatat keuntungan dengan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM109.07 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2025 (TK2025), berbanding kerugian bersih RM64.88 juta pada tahun sebelumnya.

Hasil meningkat 39 peratus tahun ke tahun kepada RM3.49 bilion berbanding RM2.51 bilion sebelum ini.

Pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu turut mengisytiharkan dividen akhir berjumlah RM38.5 juta bagi TK2025, yang akan dibayar pada 15 Disember, 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan