KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Indeks harga besi mencatatkan peningkatan antara 0.4 peratus hingga 1.9 peratus pada September 2025 berbanding bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan tertinggi dicatatkan di Miri (1.9 peratus), diikuti Perak (1.8 peratus) dan Sibu (1.7 peratus).
Beliau juga berkata indeks harga harga keratan keluli dan logam meningkat pada September 2025, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.2 peratus hingga 0.5 peratus di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Sementara itu, indeks harga seunit simen kekal tidak berubah bagi semua kawasan kecuali peningkatan dalam indeks untuk Terengganu dan Kelantan (0.4 peratus) dan Sandakan (0.3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Uzir berkata perbandingan tahunan untuk September 2024 dan September 2025 menunjukkan indeks harga seunit bagi besi mencatatkan penurunan antara -2.8 peratus kepada -8.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di seluruh negara.
Penurunan tertinggi untuk indeks harga seunit bagi besi di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-8.6 peratus).
Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun indeks harga seunit simen meningkat antara 0.5 peratus hingga 3.9 peratus pada September 2025 berbanding bulan sama tahun lepas di seluruh negara.
“Peningkatan tertinggi bagi indeks ini adalah di Tawau (3.9 peratus), diikuti Sandakan (2.8 peratus) dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.5 peratus),” katanya.
Mohd Uzir berkata purata harga seunit besi terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan jenis Mycon 60 “high tensile deformed bars” atau batang logam dengan kekuatan tegangan tinggi, mencatatkan peningkatan kecil 0.7 peratus dengan purata harga RM3,516.11 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2025: RM3,491.35 setiap tan metrik).
Selain itu, purata harga bagi simen Ordinary Portland pula menokok kepada (0.2 peratus) dengan harga purata RM23.90 bagi setiap karung 50 kilogram berbanding Ogos 2025 (RM23.85 setiap beg 50 kg), katanya.
Perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 0.8 peratus pada September 2025 berbanding bulan sebelumnya.
Peningkatan IKB itu direkodkan untuk semua kategori bangunan dan kawasan.
Selain itu, IKB dengan bar keluli di Sabah mencatat sedikit peningkatan antara 0.1 peratus dan 0.6 peratus untuk semua kategori bangunan pada September 2025 berbanding bulan sebelumnya.
Dalam tempoh sama, IKB dengan bar keluli di Sarawak turut mencatatkan peningkatan dari 0.1 peratus kepada 0.8 peratus untuk semua kategori bangunan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial