NEW DELHI, 9 Okt (Bernama) -- Bangladesh menyatakan kesediaannya untuk menyertai usaha keamanan dan pembinaan semula di Gaza susulan persetujuan gencatan senjata dan pembebasan tawanan antara kumpulan Palestin Hamas dan rejim Israel yang dicapai pada Khamis hasil pengantaraan antarabangsa.
“Bangladesh bersedia untuk menyumbang kepada usaha mengekalkan keamanan dan proses pembinaan semula di Gaza serta menegaskan sokongan teguhnya terhadap penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin,” menurut kenyataan Kementerian Luar Bangladesh.
Bangladesh turut menyatakan keyakinan bahawa rundingan gencatan senjata itu akan membawa kepada pemulihan bantuan kemanusiaan dan pengakhiran penderitaan rakyat Gaza.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berharap persetujuan gencatan senjata itu akan menjadi “peluang bersejarah untuk mewujudkan keamanan berkekalan di Timur Tengah.”
Beliau memuji peranan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam proses tersebut sambil berkata, “pemimpin Qatar, Mesir dan Turkiye juga wajar dipuji atas usaha gigih mereka untuk berunding mencapai persetujuan” bagi menamatkan genosid di Gaza.
“Paling utama, kita mesti memberi penghormatan kepada rakyat Palestin - yang menanggung penderitaan luar biasa yang tidak seharusnya berulang sama sekali,” kata Perdana Menteri Pakistan itu.
Beliau turut menyatakan kebimbangan mendalam dan mengecam keras provokasi terbaru di Masjid Al-Aqsa.
“Dunia mesti menuntut pertanggungjawaban terhadap pihak pendudukan dan peneroka haram serta menghalang sebarang tindakan lanjut yang boleh menjejaskan usaha besar yang dilakukan oleh Presiden Trump untuk meredakan ketegangan dan membuka jalan ke arah keamanan berkekalan,” katanya, merujuk kepada lawatan provokatif oleh menteri pelampau Israel Itamar Ben-Gvir dan peneroka haram Yahudi ke pekarangan masjid di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki pada Rabu bagi mengadakan ritual Talmud.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial