AM

Lynas: Pembinaan PDF Capai 72 Peratus, Siap Sepenuhnya Menjelang 2026 - Chang

09/10/2025 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi sisa radioaktif Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) kini mencapai 72 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kemajuan projek itu sedikit lewat berbanding sasaran asal iaitu 82 peratus, namun pelaksanaannya masih berada pada tahap memuaskan.

“PDF ini dibina secara berperingkat, dan setakat ini empat sel — Sel A, Sel B, Sel C dan Sel D — telah siap dibina serta sedang digunakan bagi pengisian sisa Water Leach Purification (WLP),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai strategi pengurusan sisa radioaktif Lynas, termasuk keperluan pelaksanaan penilaian impak kesihatan (HIA) serta langkah mitigasi jangka panjang.

Mengenai pelaksanaan HIA terhadap komuniti sekitar kawasan operasi Lynas di Gebeng, Pahang, Chang menjelaskan tiada keperluan untuk kajian itu dijalankan setakat ini kerana tiada laporan menunjukkan peningkatan kes kesihatan di kawasan berkenaan.

“HIA akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan, namun setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) tidak memberikan sebarang maklum balas yang menunjukkan perlunya kajian itu dijalankan,” katanya.

Menjawab soalan asal Jamaludin mengenai pematuhan kepada piawaian antarabangsa, Chang berkata Lynas perlu mematuhi Pelan Pengurusan Sisa Radioaktif yang diluluskan Jabatan Tenaga Atom (JTA), termasuk aspek perundangan, pemantauan dan mitigasi risiko.

Beliau berkata JTA turut menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan operasi Lynas mematuhi Akta 304 dan syarat lesen yang ditetapkan, selain pemantauan radiologi di dalam dan luar kawasan kilang.

“Hasil pemantauan mendapati tiada peningkatan aras sinaran dan data dedahan sinaran menunjukkan bahawa ianya tidak melebihi 1 miliSievert setahun untuk orang awam dan 20 miliSievert setahun untuk pekerja,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai perancangan jangka panjang kerajaan dalam pengurusan sisa radioaktif, Chang berkata bahan radioaktif daripada sektor lain seperti perubatan dan penyelidikan diuruskan Agensi Nuklear Malaysia di bawah piawaian ketat selaras standard Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Beliau berkata Malaysia kini mempunyai dua kemudahan pelupusan kekal masing-masing di Lahat, Perak dengan kapasiti 90,000 metrik tan dan di Gebeng, Pahang dengan kapasiti 1.6 juta metrik tan.

“Dengan penubuhan SES Fund (Tabung Pengurusan Sisa), kita harap kita boleh menguruskan sisa radioaktif ini dengan lebih baik dan lebih teratur,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan