AM

LKIM Sedia Stok 1,900 Tan Metrik Ikan Untuk Musim Tengkujuh

09/10/2025 05:42 PM

DUNGUN, 9 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyimpan sebanyak 1,900 tan metrik ikan sejuk beku sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata langkah itu bagi memastikan bekalan makanan laut berkenaan cukup dan harganya kekal stabil di pasaran pada musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula dari November ini hingga Mac tahun depan.

"Lazimnya, stok ikan segar akan berkurangan pada musim tengkujuh kerana nelayan di Pantai Timur tidak dapat turun ke laut.

"Oleh itu, LKIM telah mengambil langkah menyimpan stok ikan sejuk beku dengan kerjasama pihak swasta, iaitu orang tengah. Pihak swasta menyediakan bekalan sebanyak 1,600 tan metrik manakala LKIM pula menyimpan 300 tan metrik ikan.

"Jadi, tidak sepatutnya ada isu kenaikan harga ikan. Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya masih terdapat pihak yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dengan sewenang-wenangnya," katanya ketika ditemui pada Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan di Kompleks LKIM Dungun, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah LKIM Terengganu Ahmad Nazri @ Abd Zaim Madri.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata LKIM telah membina sebanyak 68 rumah baharu dan membaik pulih 212 rumah nelayan pada tahun ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Beliau berkata Terengganu merupakan penerima tertinggi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) dengan peruntukan sebanyak RM2.02 juta.

"Di Terengganu, sebanyak 17 nelayan menerima rumah baharu manakala 30 lagi dibaik pulih. Baik pulih melibatkan kos maksimum sebanyak RM20,000 sebuah manakala bina baharu kira-kira RM84,000," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan