KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Turkiye akan terus membantu proses membawa pulang sembilan aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza (FFC x TTMG) yang ditahan tentera Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu ketika menyampaikan ucapan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam ini.
“Sembilan masih ditahan Israel, sahabat saya Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan memberikan mesej bahawa menteri luarnya sampaikan kepada (Menteri Luar Malaysia) Datuk Mohamad Hasan, insya-Allah Turkiye akan terus bantu Malaysia,” kata beliau.
Terdahulu, Mohamad berkata Wisma Putra telah menghubungi Turkiye dan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Christopher Landau sebagai usaha menyegerakan pembebasan sembilan aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan berkenaan yang ditahan Israel.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Datuk Seri Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha dilaporkan berkata kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan FFC x TTMG telah dirampas secara haram oleh Israel termasuk yang membawa sembilan sukarelawan Malaysia pada 10.50 pagi waktu Malaysia.
Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut berada di atas kapal sama ialah Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil manakala seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.
Sebelum ini, Turkiye antara negara yang membantu Malaysia dalam proses membawa pulang 23 aktivis yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang turut ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial