Hadir sama, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan jemaah menteri, selain disertai 23 delegasi Malaysia daripada kumpulan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang diselamatkan daripada tahanan rejim Israel dan selamat dibawa pulang ke tanah air semalam.
Perdana Menteri berkata usai perbincangan bersama dengan Sani Araby dan Muhammad Nadir Al-Nuri, seterusnya beliau akan menghubungi rakan beliau Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi bagi perancangan selanjutnya.
“Mudah-mudahan itu (sempadan Rafah) akan jadi laluan lebih mudah (untuk salur bantuan ke Gaza), dan yang paling penting misi ini kita bawa mesej bahawa kita menyokong perjuangan rakyat Gaza dan Palestin.
“Dunia tidak boleh membisu, ini bukan dalam zaman barbaric (kejam), ini zaman tamadun, (Gaza) mesti bebas, mesti beri mereka makan, minum, perubatan, sekolah, masjid seperti apa yang sewajarnya,” kata beliau.
Terdahulu di pentas sama, Sani Araby yang juga Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) dalam ucapannya memohon Perdana Menteri untuk menjadi Chef de Mission kepada usaha mengatur gerak gelombang kedua bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah.
Dalam ucapan beliau, Anwar turut menyentuh mengenai pendirian Malaysia yang mengambil pendekatan mendukung cadangan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan konflik di Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
“Adakah kita sokong kerana puas hati dengan pelan itu? Tidak. Kita percaya ia akan berlaku seperti dirangka? Tidak. Tetapi, kita bersama dengan rakan-rakan dunia Arab, dunia Islam dan dengan negara yang lebih progresif, mahu penindasan ini, kezaliman ini, penjajahan ini, pembunuhan ini dihentikan oleh Zionis Israel.
“Kita mahu Gaza bebas dan kita mahu bantuan kemanusiaan segera sampai, namun ini masih tidak boleh menghentikan ia jadi polemik politik. Seolah-olah kita jual maruah, kita tunduk kepada Presiden Trump,” kata beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa rundingan diplomatik adalah amat penting dalam matlamat untuk mencapai kemerdekaan Palestin.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa undangan terhadap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini bertujuan berunding bagi mencari penyelesaian damai terhadap konflik Palestin–Israel.
Anwar berkata langkah diplomasi itu berasaskan prinsip kebijaksanaan dan kematangan politik bagi memastikan suara rakyat Palestin terus diperjuangkan melalui saluran yang berkesan pada peringkat antarabangsa.
“Kalau ini bermakna kita atas nama ASEAN mengundang Donald Trump (hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47), apa salahnya berunding? Saya bukan menyerah, saya nak berunding.
“Orang tanya, apa guna (undang) Amerika (sebab mereka) sokong Israel. Tetapi, kita nak cari penyelesaian. Penyelesaian itu ada kebijaksanaan. Bukan kita menyerah. Kita mencari helah kebijaksanaan yang disebut diplomasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial