SUKAN

Isu Penggantungan Tak Jejas Fokus Harimau Malaya Hadapi Laos - Cklamovski

08/10/2025 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya tetap memberi tumpuan penuh terhadap aksi menentang Laos dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 biarpun berdepan isu penggantungan tujuh pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengendali skuad negara Peter Cklamovski menegaskan isu berkenaan tidak menjejaskan persiapan pasukan bagi memburu tiga mata penuh menjelang pertemuan di Stadium Nasional Laos, Vientiane, malam esok.

"Apa yang berlaku (hukuman FIFA) adalah di luar kawalan kerana tiada apa yang boleh kita lakukan (sebagai pasukan). Lebih baik kita letakkan fokus di sini untuk mengharungi aksi menentang Laos.

“Pemain menunjukkan mentaliti yang kuat dan percaya dengan falsafah bola sepak yang diterapkan. Kami juga mahu terus memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia bahawa pasukan ini mampu mencipta sesuatu yang istimewa,” katanya pada sidang media praperlawanan di Vientiane, hari ini.

Cklamovski turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang rendah kemampuan Laos meskipun pasukan itu berada di ranking ke-185 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-123.

“Laos bukan lawan mudah. Saya mahu pemain memberikan komitmen sepenuhnya dan melaksanakan perancangan yang telah ditetapkan.

“Misi kami adalah untuk menang, mengekalkan rekod bersih dan menjaringkan seberapa banyak gol yang mampu,” katanya.

Sebelum ini, FIFA menggantung tujuh pemain warisan yang menyertai skuad kebangsaan awal tahun ini selama 12 bulan selepas terpalit isu pemalsuan dokumen.

Berdasarkan rekod, Malaysia mendominasi pertemuan dengan Laos apabila mencatat 13 kemenangan, lima seri dan hanya satu kekalahan daripada 19 perlawanan sejak 1968.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan