EKONOMI

CEO Petronas Mohon Maaf Insiden Sambutan Kemenangan F1 GP Singapura

07/10/2025 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf susulan insiden ketika sambutan kemenangan di Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kemenangan itu merupakan pencapaian yang amat dinanti-nantikan dalam kerjasama strategik yang terjalin dengan Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One, pada musim ini.

Tengku Muhammad Taufik pada masa sama berbesar hati diberikan penghormatan untuk mewakili pasukan bagi menerima Trofi Kemenangan Konstruktor.

Namun, katanya, keterujaan spontan beliau ketika meraikan detik tersebut mungkin dianggap tidak bersesuaian dengan tempatnya.

"Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.

"Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya," jelas beliau.

Tengku Muhammad Taufik, bagi pihak Petronas turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan berterusan terhadap penglibatan syarikat minyak dan gas itu dalam perlumbaan F1.

"Berkat usaha gigih Petronas, kejayaan yang dikecapi sekarang dan kecemerlangan yang bakal dicapai di masa akan datang dalam era bahan api mampan mampu membuktikan kebolehan dan keunggulan inovasi ciptaan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan