Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia mempunyai peluang besar yang belum diterokai dalam pembangunan dan pengkomersialan peranti teknologi saraf, sekali gus mampu menjadikan negara sebagai hab serantau, kata seorang pakar bedah saraf.
Pensyarah sains saraf dan pakar perunding kanan bedah saraf di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah, berkata pasaran teknologi saraf di Asia Tenggara semakin berkembang dan menawarkan peluang kepada pereka tempatan untuk membangun dan memasarkan hasil ciptaan mereka.
Oleh itu, katanya, berikutan prospek besar sebagai pengeluar peranti teknologi saraf, Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sedang bekerjasama membangunkan garis panduan peranti terlibat.
Ini kerana, Dr Jafri Malin berkata pereka tempatan memiliki keupayaan saintifik dan bakat untuk mencipta peralatan teknologi saraf tetapi tidak mempunyai rangka kerja struktur yang diperlukan untuk mengkomersialkan ciptaan mereka.
“Malaysia bukan hanya pengguna teknologi saraf, tetapi kita juga mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan peranti teknologi saraf.
“Bagaimanapun, apabila kita ingin menjual produk kita ke negara ASEAN lain atau kepada dunia, kita perlu mematuhi piawaian tertentu.
“Sehingga hari ini, tidak ada piawaian sedia ada bagi peralatan teknologi saraf di Malaysia, jadi kita mengadakan perbincangan dengan SIRIM pada awal tahun ini untuk mewujudkan piawaian minimum bagi negara ini terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di luar Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2025 hari ini.
Menurut Dr Jafri Malin, Malaysia boleh membuka potensi peluang yang besar dalam kumpulan bakat sains saraf dan membangunkan kedua-dua teknologi penjagaan kesihatan serta ekonomi menerusi usaha penyeragaman itu.
“Piawaian ini sedang diusahakan ketika ini. Kami berharap dapat memuktamadkan mereka dalam tempoh satu tahun.
“Apabila piawaian itu dimuktamadkan, kita akhirnya boleh bergerak iaitu daripada hanya menghasilkan peranti kepada mengeksportnya.
“Ketika itulah Malaysia benar-benar boleh menjadi sebahagian daripada ekosistem teknologi saraf global,” tambahnya.
Sementara itu, KMF 2025 yang bertemakan “Menangani Ketidaktentuan : Iktibar Kisah Belalang dan Semut Dalam Mengharungi Risiko”, berlangsung pada 6-7 Okt, merupakan edisi ke-20 forum tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial