EKONOMI

Khazanah Perkukuh Daya Tahan Ekonomi Negara Menerusi Pelaburan Mampan - Pengarah Urusan

07/10/2025 08:48 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) - Khazanah Nasional Bhd sedang meningkatkan usaha untuk mengukuhkan ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global bersandarkan kepada tiga tonggak utama, iaitu kemampanan, kekuatan ekonomi dan keterangkuman.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata dana kekayaan kedaulatan negara itu berpandukan kepada rangka kerja ‘Menjamin Masa Depan’, yang bertujuan untuk meningkatkan daya tahan negara dalam mengharungi cabaran luar.

“Apabila kita membicarakan tentang kemampanan, teknologi dan daya tahan, pada asasnya, kita mahu memastikan ekonomi Malaysia yang kukuh pada masa depan. 

"Mengenai Khazanah, apabila melihat kepada pelaburan kami, kami cuba membantu negara membina ekonomi kukuh itu," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di luar acara Forum Khazanah Megatrends (KMF) 2025, di sini, hari ini.

KMF 2025 yang memasuki edisi ke-20, diadakan dari 6-7 Okt, dengan tema ‘Debugging Uncertainty: Lessons from the Grasshopper and the Ant on Living with Risk’. (Menangani Ketidaktentuan : Iktibar Kisah Belalang dan Semut Dalam Mengharungi Risiko).

Menurut Amirul Feisal, tema KMF 2025 itu yang menekankan tentang keperluan untuk Malaysia bersiap sedia menghadapi ketidaktentuan global, diilhamkan daripada kekuatan dan kebolehsuaian koloni semut.

Beliau juga berkata Khazanah menggunakan rangka kerja ‘A Nation That Creates’ (ANTC), yang akan menjadi panduan bagi Malaysia untuk berganjak daripada sekadar menjadi hab pembuatan multinasional kepada sebuah negara pencipta.

"Beberapa perbincangan di KMF memfokuskan kepada peranan penting pembuatan, menampilkan penceramah dari China, Jepun, dan negara lain. Jepun, khususnya, diketengahkan sebagai contoh terbaik ekonomi yang dibina berlandaskan pembuatan dan inovasi.

“Malah, jika anda melihat kepada dasar Amerika Syarikat (AS) hari ini, mereka menyedari bahawa mungkin AS terlalu menumpu kepada reka bentuk nilai tambah tinggi, sehingga pembuatan sebenar diberikan kepada negara lain, dan kini mereka mahukannya kembali,” katanya.

Sementara itu, Amirul Feisal berkata Khazanah mengimbangi kedua-dua antara pulangan komersial dan juga kepentingan negara dan dalam masa yang sama bertanggungjawab kepada rakyat.

"Kami menguruskan portfolio pelaburan yang mana kami melihat kepada pulangan, tetapi kami melakukannya dengan cara yang bertanggungjawab," katanya sambil menekankan bahawa pelaburan domestik menyumbang kira-kira 60 peratus daripada portfolio dana kekayaan negara itu.

Mengenai fokus pelaburan Khazanah, beliau berkata dana itu terus mengutamakan kemampanan dan peralihan tenaga sebagai sebahagian daripada strategi portfolio jangka panjangnya.

Melangkaui 2025, beliau berkata ketidaktentuan global dijangka berterusan, didorong oleh peralihan kuasa dinamik dan kemajuan pantas teknologi, justeru, usaha membina daya tahan adalah amat penting.

Beliau juga berkata dengan menjadi sebuah negara yang berdaya tahan, Malaysia akan berada di kedudukan unik dengan kepelbagaian perdagangan yang masuk dari Timur dan Barat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan