EKONOMI

Perluasan Akses Telekomunikasi Kunci Tingkatkan Ekonomi Komuniti Terpinggir

07/10/2025 08:44 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 7 Okt  (Bernama) -- Usaha memperluaskan akses telekomunikasi merupakan kunci bagi meningkatkan kumpulan terpinggir seperti Orang Asli berikutan keberkesanan ketersambungan dalam membuka peluang aspek seperti penglibatan ekonomi, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Profesor Madya Jabatan Perakaunan dan Perniagaan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman, Dr Masni Mat Dong berkata ini berikutan akses internet misalnya masih tidak seimbang di kebanyakan kawasan luar bandar dan terpencil, termasuk kawasan penempatan Orang Asli serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

“Telekomunikasi berperanan amat penting. Apabila komuniti mendapat pendedahan kepada perkhidmatan maklumat dan digital, ini akan meningkatkan lagi peluang bagi pendidikan serta kehidupan yang lebih baik...tanpa kemudahan itu, mereka akan ketinggalan,” katanya kepada Bernama di luar Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2025 di sini.

Menjelaskan selanjutnya, Masni berkata sektor seperti logistik, telekommunikasi dan utiliti, usaha menjangkau kumpulan terpinggir ini sering dilihat sebagai menelan kos tinggi.

“Bagaimanapun, pendekatan terangkum dan berteraskan komuniti sebenarnya boleh mengurangkan kos, membuka pasaran baharu serta mencipta nilai jangka panjang untuk sektor swasta dan masyarakat.

“Keterangkuman bukannya kebajikan, tetapi strategi. (Usaha) penciptaan bersama mengurangkan kos hari ini dan membangunkan pasaran baharu untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata dalam sektor telekomunikasi misalnya, usaha melatih belia Orang Asli sebagai juruteknik dan usahawan mikro bagi tujuan pemasangan dan mengendalikan penyelenggaraan rangkaian komuniti, dapat mengurangkan kos perbelanjaan, meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan serta membentuk asas pelanggan setia.

Bagi utiliti pula, langkah membangunkan projek solar atau hidro mikro di peringkat kampung bersama koperasi komuniti, dapat menawarkan penyelesaian lebih lestari berbanding sambungan grid yang panjang selain meningkatkan lagi pematuhan pembayaran serta penyelenggaraan sistem.

Merujuk sektor logistik, Masni berkata langkah bekerjasama dengan ejen komuniti bagi tujuan penghantaran jarak akhir, tidak hanya dapat menyokong pengeluar tempatan seperti jualan madu hutan, rotan dan tumbuhan ubatan, tetapi membolehkan aliran dua hala barangan dan e-dagang.

“Langkah ini lazimnya dimulakan sebagai projek rintis di penempatan Orang Asli, namun boleh berperanan sebagai model penyelidikan dan pembangunan bagi penyelesaian luar bandar lebih meluas di seluruh negara. Pada masa sama, ini juga dapat mengukuhkan lesen sosial sesebuah syarikat dari segi operasi dan prestasi (amalan) alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Masni turut menekankan kepentingan kerjasama sektor awam dan swasta dalam menangani jurang dialami golongan terpinggir.

“Kerjasama kerajaan, sektor swasta dan komuniti adalah penting. Apabila syarikat memasuki satu-satu penempatan, mereka tidak hanya mewujudkan peluang pekerjaan tetapi turut membawa bersama perkhidmatan seperti telekomunikasi atau tenaga boleh bahar,” katanya.

Menyentuh masa depan, beliau berkongsi harapan agar tempoh lima tahun akan datang bakal menyaksikan lebih banyak pelaburan yang menumpukan aspek akses, terutama ketersambungan membabitkan jalan raya serta digital bagi komuniti terpinggir.

“Usaha itu membantu mereka mendapat peluang lebih besar dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan negara,” katanya.

KMF2025 bertemakan “Debugging Uncertainty: Lessons from the Grasshopper and the Ant on Living with Risk" (Menangani Ketidaktentuan : Iktibar Kisah Belalang dan Semut Dalam Mengharungi Risiko).

Sejajar kelaziman KMF, perbincangan panel diteruskan dengan menumpukan sesi teras iaitu bagaimana pelbagai pasaran di seluruh dunia terjejas; maksud tema bagi firma dan masyarakat secara menyeluruh serta keperluan utama dalam kepimpinan dan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan