Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Inisiatif subsidi petrol BUDI95 mengukuhkan pengagihan pendapatan dan boleh meningkatkan kesaksamaan perkongsian sumber negara sebanyak lima hingga 10 peratus, sejajar dengan negara ASEAN lain, kata seorang ahli ekonomi.
Pengarah firma penyelidikan IPPFA Sdn Bhd yang juga pakar ekonomi negara Mohd Sedek Jantan berkata matlamat ini boleh dicapai dengan beralih daripada subsidi regresif yang mana "kuintil" teratas memperoleh antara 70 dan 80 peratus manfaat, kepada rangka kerja progresif.
"Mekanisme BUDI95, yang menyepadukan MyKad dengan pangkalan data kerajaan memudahkan penyasaran yang lebih tepat kepada khalayak penerima dan menghalang penyalahgunaan oleh penerima yang tidak layak.
“Ini mengukuhkan penyatuan fiskal dengan mengurangkan ketirisan dan meluaskan ruang fiskal untuk perbelanjaan yang lebih produktif," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata dalam jangka sederhana, BUDI95 dijangka membantu menstabilkan kos pengangkutan, yang merupakan faktor utama mempengaruhi indeks harga pengguna dan pengeluar.
Dengan mengurangkan ketidaktentuan dalam perbelanjaan petrol, beliau berkata skim itu berkemungkinan dapat mengekalkan kuasa beli isi rumah dan meningkatkan pendapatan boleh guna sebenar, terutamanya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah, yang mana bahan api boleh menyumbang sehingga 10 peratus daripada belanjawan isi rumah.
Mohd Sedek juga mencadangkan agar kerajaan menyepadukan skim itu ke dalam identiti digital yang lebih luas dan ekosistem pembayaran dengan menghubungkan MyDigital ID kepada peruntukan subsidi, yang bukan sahaja akan menyeragamkan akses tetapi juga memperluaskan fungsi kepada perkhidmatan awam lain yang dapat meningkatkan kecekapan seluruh sistem.
Beliau berkata BUDI95 juga boleh dipautkan kepada perkhidmatan seperti pengecualian tol, pembayaran saman trafik, atau pembaharuan lesen, sekali gus menormalkan penggunaan ID digital.
Penganalisis ekonomi Putra Business School Profesor madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata inisiatif BUDI95 membolehkan pengguna menjimatkan kos pengangkutan, yang membawa kepada pendapatan boleh guna lebih tinggi.
Bagaimanapun, beliau berkata, risiko program itu terletak pada cabaran teknologi menggunakan MyKad, yang cipnya tidak berfungsi.
Selain itu, katanya, terdapat kemungkinan sesetengah individu mungkin menjual kuota bahan api yang tidak digunakan kepada individu lain dan menyeludupnya ke negara jiran.
“Justeru, pangkalan data sistem pangkalan data pusat negara (PADU) perlu dikemas kini supaya kerajaan dapat memadankan MyKad dengan bilangan dan jenis kenderaan yang dimiliki setiap individu serta memantau trend bulanan bagi mengesan sebarang unsur penyeludupan atau penjualan kuota kepada orang lain,” katanya.
BUDI95 dilaksanakan mulai 30 Sept, 2025, melibatkan 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk di bahagian ‘Soalan Lazim’ di portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595.
-- BERNAMAT
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial