AM

Status Fiskal Negara, Isu Buli Di Sekolah Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

08/10/2025 08:14 AM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Isu kedudukan fiskal negara berikutan pelaksanaan pelbagai skim bantuan tunai dan penstrukturan subsidi, menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman Parlimen, soalan itu dikemukakan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) kepada Menteri Kewangan, yang bertanyakan sama ada negara berisiko menghadapi defisit fiskal yang lebih besar.

Sementara itu, Dr Halimah Ali (PH-Kapar) meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah konkrit kerajaan dalam menangani kes buli di sekolah dan institusi pendidikan yang semakin membimbangkan sehingga ada yang mengakibatkan kecederaan parah dan kematian.

Beliau juga ingin mengetahui mekanisme pencegahan, pengawasan, intervensi awal serta tindakan tegas terhadap pelaku dan pihak pentadbiran yang cuai terhadap perkara itu.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula meminta Menteri Digital menyatakan langkah strategik yang sedang dan akan diambil bagi memastikan keselamatan siber negara terjamin, khususnya dalam menghadapi peningkatan kes scam yang menggunakan teknologi Weaponised AI.

Sementara itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, menyatakan sistem yang diguna pakai di stesen minyak seluruh negara serta langkah yang diambil untuk melengkapkan perkhidmatan di stesen minyak, selaras langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar petrol RON95 serta kos-kos terlibat.

Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) pula bertanyakan Menteri Pendidikan sama ada kerajaan bersedia melonggarkan syarat dan keperluan menghadiri kursus National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) selama satu tahun, sebelum layak dilantik sebagai pengetua bagi mengatasi masalah kekurangan jawatan itu di Sekolah Menengah Bantuan Kerajaan.

Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sesi penggulungan menteri-menteri bagi usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024.

Turut dijadualkan ialah pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025, RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan