KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dinasihatkan agar meneliti aspek teknikal seperti zon masa ketika mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bekas Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata ia penting bagi memastikan rayuan yang dikemukakan tidak ditolak atas faktor lewat atau ketidakpatuhan terhadap garis panduan teknikal ditetapkan oleh badan induk bola sepak dunia itu.
“FIFA apabila hantar surat, mesti akan nyatakan sama ada keputusan itu boleh dirayu atau tidak. Kalau boleh, rayuan mesti dibuat dalam tempoh masa ditetapkan.
“Kena berhati-hati dengan isu masa, sama ada ikut waktu Switzerland atau waktu tempatan. Sebab kalau lewat walau satu minit pun, FIFA boleh tolak kes itu. Jadi, FAM kena sangat teliti bab ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Saifuddin berkata setelah rayuan dikemukakan, FIFA akan menilai sama ada rayuan berkenaan diterima untuk diproses atau tidak, sebelum keputusan akhir dikeluarkan.
Beliau berkata sekiranya masih tidak berpuas hati dengan hasil rayuan, FAM masih mempunyai ruang untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai langkah terakhir.
“Apa-apa pun kita perlu tunggu sehingga keputusan rayuan keluar, kita tidak tahu apa dokumen yang FIFA ada dan apa dokumen yang kita ada. Jadi kedua-dua dokumen itu akan dibandingkan,” katanya.
Sementara itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengambil pendekatan berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan berhubung nasib skuad Harimau Malaya dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027 susulan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain warisan negara.
Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John berkata pihaknya tidak boleh menentukan sebarang keputusan tanpa penghakiman muktamad, sebaliknya menunggu keputusan proses rayuan bakal dikemukakan FAM.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Terkini, FIFA menerusi laporan siasatan Jawatankusa Tatatertib FIFA (Sekretariat) bertarikh 6 Okt 2025 antaranya mendapati beberapa pemain di bawah FAM telah menggunakan dokumen palsu bagi mengelak dan memintas peraturan badan itu, bagi membolehkan mereka mewakili Harimau Malaya.
FAM pagi ini mengesahkan sudah menerima dokumen penghakiman penuh daripada FIFA berhubung keputusan tatatertib isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.
FAM memaklumkan bahawa dengan penerimaan dokumen tersebut, mereka akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.
FAM turut menegaskan dokumen dan bukti sokongan telah lengkap dan sedia dikemukakan kepada FIFA dengan segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial