DUNIA

Bursa Malaysia Rendah Semasa Akhir Sesi Dagangan Pagi

07/10/2025 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Selasa, susulan aktiviti pengambilan untung di kaunter berwajaran tinggi terpilih, didahului sektor penjagaan kesihatan dan pembinaan, sekali gus mempengaruhi sentimen pasaran, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.33 mata atau 0.75 peratus, kepada 1,625.76 daripada 1,638.09 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.03 mata lebih rendah kepada 1,636.06 dan berlegar antara 1,624.35 hingga 1,636.50 sepanjang sesi.

Pasaran keseluruhannya negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 715 berbanding 252, manakala 418 kaunter tidak berubah, 1,191 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.15 bilion saham bernilai RM1.39 bilio

Hong Leong Investment Bank Bhd menjelaskan FBM KLCI dijangka mencatatkan pergerakan mendatar dalam masa terdekat untuk pelabur meneliti kenaikan 6.5 peratus dalam tempoh tiga bulan lepas.

“Kami kekal positif menjelang suku keempat yang secara bermusim lebih kukuh, dan menaikkan sasaran KLCI akhir 2025 kepada 1,660 daripada 1,640 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 14.6 kali, disokong oleh unjuran pertumbuhan pendapatan sebanyak 3.9 peratus pada 2025 dan 6.3 peratus pada 2026,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.

Kalangan kaunter berwajaran tinggi, IHH Healthcare susut 20 sen kepada RM8.15, Gamuda merosot 21 sen kepada RM5.26, manakala Maybank, YTL Corporation dan YTL Power International masing-masing turun enam sen kepada RM9.96, RM2.69 dan RM4.13.

Bagi kaunter aktif, Borneo Oil dan KNM Group kekal pada 0.5 sen. Cheeding yang baru disenaraikan di Pasaran ACE melonjak 37 sen kepada 73 sen, Pharmaniaga menokok satu sen kepada 29.5 sen, manakala Tanco turun 2.5 sen kepada 86 sen.

Antara kaunter paling untung, Nestle menambah 26 sen kepada RM97.56; UMS Integrated meningkat 21 sen kepada RM4.99; Fraser and Neave menokok 16 sen kepada RM28.16; DKSH naik 14 sen kepada RM5.00; dan Malaysian Pacific Industries meningkat 12 sen kepada RM31.12.

Antara kaunter paling rugi, Kluang Rubber merosot 20 sen kepada RM5.50; KSL Holdings turun 17 sen kepada RM2.82; serta Petronas Dagangan dan Plenitude yang masing-masing turun 14 sen kepada RM22.90 dan RM2.02.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 84.47 mata kepada 12,096.45, Indeks FBM 100 turun 82.74 mata kepada 11,829.73, dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 89.22 mata kepada 12,108.49.

Indeks FBM 70 merosot 87.76 mata kepada 16,926.66, manakala Indeks FBM ACE turun 56.08 mata kepada 5,277.39.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.22 mata kepada 173.30, Indeks Tenaga susut 5.52 mata kepada 780.61, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 90.95 mata kepada 18,544.96, dan Indeks Perladangan turun 21.25 mata kepada 7,798.78.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan