JENAYAH & MAHKAMAH

Ahli Perniagaan Di Miri Rugi RM165,750 Akibat Pelaburan Tidak Wujud

07/10/2025 01:13 PM

KUCHING , 7 Okt (Bernama) --Seorang ahli perniagaan di Miri kerugian RM165,750 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud melalui aplikasi dalam talian yang dikenali sebagai AIGOU.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa yang berusia awal 40-an, dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang wanita tidak dikenali pada 23 Sept lepas, yang bertanyakan sama ada kereta milik mangsa telah siap dibaiki atau belum.

Menurutnya, suspek kemudiannya mengaku tersilap menghubungi mangsa, sebelum meneruskan perbualan dan menawarkan peluang pelaburan perniagaan melalui aplikasi AIGOU.

“Aplikasi tersebut kononnya berfungsi sebagai platform jual beli pelbagai barangan, di mana mangsa didakwa memiliki kedai sendiri dalam aplikasi itu serta perlu membuat pembayaran kepada pembekal bagi setiap pesanan diterima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut, telah melakukan sebanyak 18 transaksi ke empat akaun bank berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM165,750 bagi tujuan pembayaran pesanan.

Mohd Farhan berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan oleh suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan