SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly menerima ganjaran tertinggi di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) susulan prestasi cemerlangnya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi, India, bulan lepas.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata Abdul Latif menerima ganjaran berjumlah RM69,333 atas kejayaan memenangi pingat emas acara lompat jauh F20 (kecacatan intelektual), selain tambahan RM10,000 selepas mencipta rekod dunia baharu dengan catatan 7.67 meter (m).
“Justeru, jumlah keseluruhan ganjaran yang diterima beliau ialah RM79,333. Sementara itu, Muhammad Ziyad Zolkefli memperoleh RM8,000 bagi pingat gangsa dalam acara lontar peluru F20, manakala Muhammad Nazmi Nasri menerima RM16,000 bagi gangsa acara lompat jauh T37 (kecacatan fizikal),” katanya.
Jefri berkata demikian pada sidang media Majlis Sambutan Wira dan Wirawati Para Olahraga sempena kepulangan kontinjen Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyambut ketibaan barisan atlet yang bertanding pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di sini.
“Ketiga-tiga atlet ini membuktikan bahawa sukan para negara kini memiliki pelapis berkualiti, dan kita mahu mereka yang sudah biasa meraih pingat terus mencipta rekod dunia baharu,” kata Hannah.
Sementara itu, Abdul Latif berkata fokusnya selepas ini adalah untuk mencapai kejayaan di pentas Sukan Komanwel dan Sukan Para Asia, masing-masing pada tahun depan.
“Saya bersyukur dapat kembali ke prestasi terbaik tahun ini, sekali gus menebus kekecewaan tahun lalu. Selepas ini, saya akan membuat persiapan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Para Asia.
“Saya berhasrat mempertahankan pingat emas Sukan Para Asia untuk kali keempat berturut-turut, sebelum memberi tumpuan kepada Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial